Kejayaan PH hasil gabungan empat parti politik

Kejayaan PH hasil gabungan empat parti politik

Parti Keadilan Rakyat(PKR) mengalu-alukan pandangan ikhlas Perdana Menteri keatas Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan mengakui bekas timbalan beliau sebagai seorang yang berpengalaman luas serta merupakan arkitek yang telah membentuk Pakatan Rakyat, sekaligus menyerlahkan kepimpinan beliau.

Demikian kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin merujuk kepada wawancara ekslusif Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Pengarang Kanan, New Straits Times, di Putrajaya yang dipetik Berita Harian.

Malah katanya lagi, semenjak kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya umum (PRU) ke 14 yang lalu, kejayaan menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang telah bertapak selama 61 tahun merupakan suatu kejayaan yang tidak terduga.

Jelasnya, kejayaan tersebut tidak datang bergolek tanpa sokongan padu seluruh rakyat negara ini kepada gabungan parti-parti dibawah panji PH.

“PKR akur bahawa kejayaan ini juga tidak mungkin akan wujud tanpa pautan tangan serta strategi ampuh dibawah dua pemimpin besar iaitu Tun Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Loading...

“Konflik dan sengketa lalu tidak akan pernah menghalang dua tokoh jiwa besar untuk berganding bahu bagi memastikan kepentingan rakyat terus diperjuangkan dan dipelihara bagi memacu negara ini menjadi sebuah negara yang disegani dunia.

“PKR juga sedar terdapat pihak yang tidak dapat menerima kekalahan lalu dan cuba menanam ranjau atas gabungan erat Mahathir-Anwar tatkala ini, ” ujarnya.

Menurut Shamsul lagi, PKR menempelak pihak yang tidak sudah melaga-lagakan kedua-dua pemimpin besar ini.

“Sesungguhnya aga rakus pihak terdesak tersebut sangat memualkan dan membelakangkan keutuhan negara semata-mata kerana ingin terus kembali berkuasa.

“Ketika negara sedang melangkah kehadapan dan bangkit dari kemusnahan yang ditinggalkan oleh BN, PKR dengan sepenuh hati menyeru agar seluruh rakyat tanpa mengira agama dan bangsa agar terus memberikan sokongan dan mandat kepada Tun Mahathir dan Anwar untuk memacu negara ini menjadi sebuah negara yang aman, makmur, megah dan berdaulat.

“PKR berikrar akan menjadi jambatan dan tali ikatan kepada semua pihak bagi memastikan persefahaman dan kerja keras antara Tun Mahathir dan Anwar terus diperkukuhkan demi memastikan kepercayaan yang telah diberikan oleh rakyat dibalas dengan jujur, adil dan saksama, ” tegas Shamsul.

Kata beliau lagi, ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana tidak pernah lekang dan jemu menzahirkan kepercayaan kepada Anwar sebagai pengganti beliau.

“Pihak-pihak yang sengaja ingin melihat kemusnahan gabungan Tun Mahathir-Anwar diberi amaran supaya menghentikan adu-domba, sebaliknya berubah menjadi lebih positif demi kepentingan negara.

“Kini adalah masa untuk PH menabur bakti kepada rakyat setelah dipilih dengan penuh air mata dan keringat oleh jutaan rakyat sehingga beroleh kemenangan dalam PRU ke 14 yang lalu.

“Yang bulat tidak datang bergolek dan yang pipih tidak akan datang melayang, ” taambah beliau.

Berita penuh https://malaysiadateline.com/kejayaan-ph-hasil-kerjasama-padu-mahathir-anwar/