Kecoh satu dewan pembangkang pertikai tidak dapat peruntukan kerajaan PH

Kecoh satu dewan pembangkang pertikai tidak dapat peruntukan kerajaan PH

Sidang Dewan Rakyat hari ini kecoh apabila Anggota Parlimen kerajaan dan pembangkang saling bertikam lidah, mengenai isu peruntukan kepada wakil rakyat.

Terdahulu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan) Datuk Dr Md Farid Md Rafik ketika menggulung usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong berkata, kerajaan telah bersetuju meluluskan peruntukan sebanyak RM100,000 bagi kawasan Parlimen pembangkang.

“Perkara ini merupakan satu titik permulaan yang cukup baik, ini tahun pertama pelaksanaannya, ia masih terbuka kepada penambahbaikan,” katanya.

Beliau berkata peruntukan itu boleh ditambah baik bergantung kepada kemampuan kerajaan.

Tambahnya, peruntukan khas bagi Anggota Parlimen kerajaan Pakatan Harapan pula adalah berjumlah RM1.5 juta, manakala RM300,000 bagi peruntukan pengurusan pejabat untuk menguruskan pusat khidmat rakyat.

Loading...

Datuk Che Abdullah Mat Nawi (PAS-Tumpat) kemudian membangkitkan isu ketidakadilan dalam pemberian peruntukan berkenaan.

Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid (PH-Kapar) kemudian mencelah dengan mengatakan selama dua penggal beliau menjadi anggota Parlimen pembangkang, beliau tidak pernah menerima sebarang peruntukan daripada kerajaan Barisan Nasional.

Celahan Abdullah Sani itu diganggu Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) yang melaungkan perkataan ‘penipu’ sehingga menimbulkan perang mulut dengan wakil rakyat kerajaan.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon kemudian meminta anggota Parlimen untuk bertenang supaya Dr Md Farid dapat meneruskan penggulungan beliau