JAKIM sudah luluskan 10,186 sijil halal sehingga Mac

JAKIM sudah luluskan 10,186 sijil halal sehingga Mac

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) meluluskan sebanyak 10,186 permohonan syarikat tempatan bagi pensijilan halal Malaysia sehingga Mac lalu.

Pengarah Sekretariat Majlis Halal Malaysia JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata terdapat peningkatan permohonan sekurang-kurangnya 10 peratus setiap tahun.

“Berdasarkan rekod tiga tahun terakhir ini, permohonan sijil halal telah melebihi 10 peratus tersebut. JAKIM melihat ini sebagai satu perkembangan yang positif dalam kalangan pemain industri kerana kita maklum bahawa ada pihak beranggapan memohon sijil halal dengan JAKIM ini susah,” katanya ketika ditemui pemberita pada Sidang Kemuncak Halal Global (GHaS) 2019, di sini, hari ini.

GHaS 2019 merupakan platform terbesar bagi pemain industri halal dunia berkongsi pengetahuan melalui sesi perbincangan selain peluang meningkatkan komuniti halal demi faedah ummah secara global.

Sirajuddin berkata mulai 2016, JAKIM telah melaksanakan beberapa inisiatif termasuk memastikan tempoh pemprosesan permohonan yang lebih singkat dalam usaha membantu pemain industri segera memperoleh sijil halal bagi mempromosikan produk mereka dalam pasaran tempatan dan antarabangsa.

Loading...

“Kalau dahulu, kita ambil masa tiga hingga enam bulan untuk meluluskan permohonan sijil halal ini. Bagaimanapun, tahun lepas kita telah luluskan sebanyak 84.7 peratus permohonan dalam tempoh kurang daripada 30 hari. Ini merupakan satu perkembangan yang baik.

“Orang ramai yang ingin membuat permohonan sijil halal boleh datang terus ke JAKIM atau Jabatan Agama Islam negeri tanpa menggunakan pihak ketiga atau ejen  kerana caj permohonan serendah RM200 bagi syarikat tempatan manakala RM2,000 bagi syarikat multinasional untuk tempoh dua tahun,” katanya.

Sirajuddin berkata permohonan sijil halal kepada JAKIM menerusi pihak ketiga atau ejen akan menyebabkan caj permohonan meningkat seterusnya tidak ramai yang ingin mendapatkan sijil halal tersebut.

Beliau berkata permohonan sijil halal oleh syarikat multinasional juga memberangsangkan kerana masing-masing mempunyai sasaran pasaran.