Umat Islam Malaysia Tak Perlu Risau SPV TH – Pakar Kewangan Islam

Umat Islam Malaysia Tak Perlu Risau SPV TH – Pakar Kewangan Islam

Negara digemparkan dengan tuduhan bahawa Tabung Haji (TH) sekarang sudah di ambil oleh sebuah syarikat yang diketuai seorang bukan Islam. Tuduhan amatlah merisaukan para penyimpan di TH kerana “kesucian” TH tentulah akan tergugat apabila ianya berada di bawah kawal-selia bukan Islam.

Adakah ini benar? Menurut Professor Dr Ashraf Hashim, seorang pakar kewangan Islam dari Universiti Islam Antarabangsa, “kawal selia oleh Bank Negara bukan bermaksud Tabung Haji akan berada di bawah Bank Negara (BNM). Tiada dalam Akta Tabung Haji yang menyatakan bahawa Tabung Haji (akan) berada bawah BNM. Cuma lembaga pengarah (TH) mahukan secara self regulated (urus-kendiri), dari segi urus tadbir, untuk BNM (berkuasa) buat audit ke atas operasi TH. (Ini adalah) Sebagaimana BNM buat audit ke atas semua bank-bank komersial yang lain”. Beliau menegaskan; “kawal selia ini tidak bermaksud TH di kawal oleh BNM. Semua keputusan (tetap) akan dibuat oleh TH sebagaimana diperuntukkan oleh Akta TH”.

Jadi kenapakah kawal selia ini diperlukan? Menurut Ashraf yang juga merupakan Ahli Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia; “Lembaga Pengarah (TH yang) baru telah melantik Pricewaterhouse Cooper (PWC), iaitu sebuah firma audit antarabangsa yang bebas politik dan mempunyai kredibiliti untuk melakukan semakan mengenai kedudukan sebenar Tabung Haji (TH).”

“Apa yang dijumpai adalah hakikat sebenar tidak sama sebagaimana dalam laporan kewangan” ujarnya sambil merujuk kepada penemuan di dalam laporan akaun TH yang telahpun dibentangkan di Parlimen pada sidang akhir tahun lepas dan perlaksanaan sebuah syarikat SPV bagi memulihkan kedudukan kewangan TH.

Untuk rekod, Akaun TH pada 2017 yang dibentangkan di Parlimen pada 10/12/2018 menunjukkan jumlah aset keseluruhan TH ialah sebanyak RM70.3 bilion, dengan jumlah liabiliti sebanyak RM74.4 bilion. Laporan akaun TH pada 2017 juga menunjukkan defisit sebanyak RM4.1 bilion pada 31 Disember 2017.

Loading...

Sehubungan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, berkata, sebagai pelan pemulihan, ahli lembaga pengarah TH yang baharu telah mencadangkan penubuhan Special Purpose Vehicle (SPV) bagi mengambil alih, memulihkan dan memaksimumkan pemulihan aset TH yang kurang menunjukkan prestasi.

Ketika ini lah timbulnya tuduhan bahawa asset TH akan hilang dan TH ditadbir bukan Islam. Seorang lagi pakar kewangan Islam Dr. Zaharuddin Abd Rahman mengulas mengenai SPV yang ditubuhkan bagi mengambil alih aset yang tidak menguntungkan TH, “Saya juga tidak lihat bagaimana mungkin Kementerian Kewangan akan ‘merampas’ aset tiada hasil itu di masa akan datang, Menteri Kewangan (Diperbadankan) atau MOF Inc membawa agenda kerajaan, berbeza dengan syarikat yang sifatnya hanya mengejar keuntungan. Kecuali jika SPV di bawah MOF inc itu menjualnya kepada pihak ketiga. itu pun perlu diputuskan oleh kerajaan dan bukannya keputusan satu dua orang sahaja, khususnya jika aset terbabit adalah aset strategik”.

Apakah kriteria aset TH yang terlibat SPV? Dr. Zaharuddin berkata “Aset tidak bagus atau tidak menguntungkan TH dikenal pasti menerusi dua kriteria. Bagi hartanah, ia membabitkan aset dengan hasil kurang dua peratus dan bagi ekuiti, kemerosotan nilai melebihi 20 peratus. Justeru jumlah nilai asset tersebut mencecah RM19.9 billion”.

Dakwaan Lembaga Tabung Haji (TH) kerugian besar apabila memindahkan asetnya kepada syarikat tujuan khas (SPV) sebenarnya tidak berasas apabila nilai harga perpindahan adalah lebih tinggi dan ternyata menguntungkan.

Secara keseluruhan, aset-aset yang dipindahkan terdiri daripada 29 harta tanah, sebuah syarikat perladangan bukan penyenaraian awam; dan 106 sekuriti ekuiti domestik.

Semua aset yang kini nilainya merosot pada kadar semasa atau nilai buku aset sekitar RM10 bilion telah dipindahkan kepada SPV pada nilai RM19.9 bilion.

Malah, tanah milik TH yang terletak di Tun Razak Exchange (TRX), Kuala Lumpur dipindahkan pada nilai RM400 juta dengan menikmati premium sebanyak RM204 juta berbanding dengan nilai buku asal TH berjumlah RM196 juta.

Hakikat itu diperjelaskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof di Parlimen semasa menjawab soalan bertulis dari Ahli Parlimen Kuala Trengganu pada minggu lepas.

Penjelasan itu turut menyatakan, saham FGV, juga telah dipindahkan pada nilai RM4.62 sesaham, iaitu harga kos pembelian TH sedangkan harga pasaran semasa pada hujung 2018 iaitu 72 sen sesaham.

Berdasarkan pegangan keseluruhan sebanyak 283.7 juta saham, TH sepatutnya mengalami kerugian sebanyak RM1.1 bilion pada hujung 2018 (iaitu kerugian sebanyak 84 peratus daripada jumlah pelaburan RM1.3 bilion).

Meskipun, harga pasaran semasa saham FGV kini telah pulih kepada sekitar RM1.10 sesaham, harga itu adalah 76.2 peratus lebih rendah berbanding kos belian asal TH dan boleh menyebabkan kerugian sebanyak RM998 juta.

Begitu juga dengan saham seperti Malakoff, walaupun syarikat penyenaraian awam ini untung, kos pembelian TH adalah tinggi pada RM1.80 sesaham.

Berdasarkan harga semasa pada hujung 2018 iaitu 80 sen dan jumlah pegangan 500 juta saham, jumlah kerugian boleh menjangkau setengah bilion ringgit (atau kerugian 55 peratus daripada jumlah pelaburan asal).

Meskipun terdapat pihak yang mendakwa pegangan saham Malakoff memberikan dividen sekitar RM30 juta setahun kepada TH, peratusan sebenar dividen yang dinikmati hanyalah sekitar 3.3 peratus, bukan 7.5 peratus kerana kos asal pembelian TH adalah berjumlah RM900 juta.

Bahkan, TH perlu menunggu selama 17 tahun untuk menutup semula kerugian setengah bilion yang dialami berdasarkan dividen RM30 juta setahun.

Untuk akhirnya Dr Zaharuddin menasihatkan “Sebaiknya isu ini tidak dipolitikkan berlebih-lebihan, kerana pihak TH sedang berusaha sungguh-sungguh membaik pulih lembaga itu yang sebelum ini dipegang oleh orang politik sehingga kelihatan wujud campur tangan yang akhirnya mengurangkan kredibilitinya”.