Langkah awal mengelakkan pemalsuan kad pengenalan

Langkah awal mengelakkan pemalsuan kad pengenalan

Langkah penetapan permohonan pertukaran butiran alamat pada kad pengenalan yang perlu disertakan dokumen sokongan merupakan langkah mengenal pasti kebenaran bahawa pemohon merupakan individu yang menetap di satu-satu kawasan.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun berkata langkah diumumkan kerajaan itu adalah wajar berikutan ia akan membantu pihaknya memastikan alamat pendaftar (pemohon) di dalam daftar pemilih benar-benar wujud.

“Ia akan membantu membanteras apa-apa tindakan pihak tidak bertanggungjawab untuk mendaftar pemilih di sesebuah kawasan ataupun memindahkan pengundi ke mana-mana kawasan dengan menggunakan alamat palsu ataupun alamat kediaman pihak ketiga.

“Langkah tersebut secara langsung membantu SPR mewujudkan daftar pemilih yang lebih tepat, berintegriti dan diyakini khususnya dalam isu kesahihan alamat yang digunakan sebagai alamat mastautin,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Khamis lalu, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman mengumumkan semua permohonan pertukaran butiran alamat pada kad pengenalan perlu disertakan dokumen sokongan seperti bil elektrik, bil pembentungan, bil utiliti, cukai pintu, perjanjian jual beli rumah, perjanjian atau resit sewa rumah atau lain-lain dokumen bagi membuktikan pemohon telah menetap di alamat baharu tersebut berkuatkuasa mulai 2 Mei 2019.

Loading...