LTAM dijangka sesak tahun ini

LTAM dijangka sesak tahun ini

Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), di Batu Berendam di sini  dijangka menerima kedatangan lebih banyak penumpang pada tahun ini sempena Tahun Melawat Melaka 2019.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab berkata penerbangan tiga kali seminggu (setiap Rabu, Khamis dan Jumaat) dari Langkawi dan Kota Baharu bermula 1 Mac lepas telah mencatat jumlah penumpang yang tinggi.

“Dalam tempoh 10 hari sejak 1 Mac, apabila Syarikat Penerbangan Malindo Air membuka penerbangan  kita telah menerima sebanyak 213 penumpang dari Langkawi dan 222 penumpang dari Kota Bharu.

“Dalam masa yang sama kita turut menerima 254 penumpang ke Langkawi  dan 247 penumpang ke Kota Bharu dengan purata keseluruhan daripada kedua arah penerbangan adalah 40 penumpang setiap hari,” katanya kepada pemberita selepas meninjau ketibaan penumpang Malindo Air di LTAM, hari ini.

Mohd Sofi berkata LTAM dijangka akan bertambah sibuk apabila syarikat penerbangan AirAsia akan membuka  empat laluan penerbangan ke sini tidak lama lagi.

Loading...

Beliau berkata kerajaan negeri bercadang untuk memperkenalkan bas transit sekiranya jumlah penumpang bertambah bagi memudahkan pelancong bergerak pada masa hadapan.

Sementara itu, Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan, Jabatan Ketua Menteri Melaka, Zairi Suboh berkata Kerajaan Negeri Melaka menjangka menerima ketibaan 20 juta pelancong sepanjang Tahun Melawat Melaka 2019.

“Dalam beberapa bulan ini kita dapat melihat pola penambahan bilangan pelancong yang datang ke Melaka dan ianya akan dijangka bertambah dari semasa ke semasa,”katanya.

Beliau berkata pada tahun lepas, Melaka telah menerima ketibaan 17 juta pelancong.