Hari pertama Dewan Rakyat kecoh isu rasuah pemimpin parti

Hari pertama Dewan Rakyat kecoh isu rasuah pemimpin parti

Hari pertama persidangan Dewan Rakyat hari ini kecoh seketika apabila Anggota Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir mempersoalkan tentang penyelewengan dalam kalangan pemimpin parti politik.

Semasa membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, Akmal Nasrullah berkata beliau bimbang penyelewengan dalam kalangan pemimpin tidak hanya melibatkan pemimpin UMNO sahaja.

“Dekat sini saya nak timbulkan sedikit kerisauan apabila masalah penyelewengan tidak terhenti dalam kalangan pemimpin UMNO. Saya terbaca laporan akhbar yang menyebut bahawa ada pemimpin PAS yang dibekukan akaun bank kerana ada wang bernilai RM1 juta.

“Tidak cukup setakat itu, ada kenderaan mewah seperti Vellfire, Porsche, dan Range Rover yang keseluruhan bernilai RM2.3 juta disita. Saya nak minta menteri berkenaan mengesahkan jika terdapat mana-mana pemimpin PAS disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram,” katanya.

Justeru beliau turut mencabar pemimpin UMNO dan PAS mengisytihar harta masing-masing secara terbuka bagi menjamin intergriti dan mencerminkan ketelusan.

Loading...

Kenyataan beliau kemudian disokong oleh RSN Rayer (PH-Jelutong) yang mempersoalkan adakah kerjasama UMNO dan PAS ketika ini mungkin disebabkan kedua-dua parti itu terpalit dengan isu yang sama iaitu rasuah.

Berikutan kenyataan itu, Ahmad Amzad Mohamed (PAS-Kuala Terengganu) dan Che Alias Hamid (PAS-Kemaman) meminta Akmal Nasrullah membuktikan kenyataannya dan menyatakan nama pemimpin PAS berkenaan atau dakwaan itu dianggap fitnah.

Ketua Angkatan Muda PKR itu kemudian menjelaskan beliau membangkitkan perkara itu kerana ingin mendapatkan penjelasan daripada menteri berkenaan supaya pemimpin parti politik itu dibersihkan daripada tohmahan rasuah.

Kenyataan tersebut menyebabkan beberapa Anggota Parlimen PAS bangun dan melaungkan ‘tarik balik’ bertujuan meminta Akmal Nasrullah menarik balik kenyataannya kerana telah membuat sangkaan jahat kepada parti itu.

Keadaan itu, berlanjutan selama 10 minit sehingga Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof mengarahkan Anggota Parlimen Johor Bahru itu menarik balik kenyataannya dan beliau akur.