Yadim sokong tubuh segera unit pemantau hina Islam

Yadim sokong tubuh segera unit pemantau hina Islam

Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (Yadim) menyifatkan penubuhan Unit Pemantauan Isu Hina Islam oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim ) bertepatan pada masanya  perlu dilaksana segera, memandangkan isu agama merupakan isu yang sangat sensitif, mudah dimanupulasi dan boleh memecahbelahkan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.

Yang Dipertua Yadim , Nik Omar Nik Abdul Aziz berkata, penubuhan unit ini menjelaskan lagi betapa kerajaan amat mengambil berat dan rasa kebertanggungjawaban terhadap isu penghinaan terhadap Nabi Muhammad saw dan agama Islam yang kini semakin berleluasa.

“Yadim berharap unit ini mampu menjadi platform kepada masyarakat untuk menyalurkan aduan berkaitan isu penghinaan terhadap Nabi dan seterusnya ia dapat ditangani dengan baik dan rahmah.

“Inisiatif Menteri di Jabatan Perdana Menteri menubuhkan sebuah unit khas bagi memantau isu-isu penghinaan Islam dan Nabi Muhammad SAW amatlah dipuji setelah perkara sedemikian sejak akhir-akhir ini menjadi semakin semarak dan menjadi tular di platform media sosial,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Nik Omar berkata, pengumuman penubuhan unit perlu dilaksanakan dengan cepat dan cekap bagi mengelakkan isu penghinaan terhadap agama Islam dan Nabi Muhammad saw oleh segelintir orang awam cenderung berubah menjadi konflik antara agama dan kaum sebagaimana berlaku di beberapa buah negara.

Loading...

“Berdasarkan prinsip Rukunegara, amalan sosial dan peraturan yang terdapat di Malaysia, persoalan pelecehan agama Islam dan Nabi Muhammad saw adalah satu kesalahan yang tidak boleh dimaafkan kerana ia termasuk dalam peraturan yang bertujuan menjaga keharmonian antara kaum.

“Sebagai sebuah unit yang dikhusus ditubuhkan untuk memantau isu-isu yang berkaitan pelecehan agama dan penghinaan ke atas Nabi Muhammad saw, masyarakat bukan sahaja perlu bekerjasama untuk melaporkan kejadian sedemikian untuk diambil tindakan oleh pihak berkuasa,’ ujarnya.

Semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf Rawa mengumumkan menerusi Jakim satu unit khas ditubuhkan untuk memantau isu penghinaan agama Islam dan Nabi Muhammad saw di negara ini

Berita Asal https://malaysiadateline.com/yadim-sokong-tubuh-segera-unit-pemantau-hina-islam/