Warga JKR perlu fikir luar kotak  – Mohd Anuar

Warga JKR perlu fikir luar kotak – Mohd Anuar

Selaras dengan permintaan yang semakin meningkat dan disamping berdepan dengan ekspektasi pelanggan yang kian mencabar, warga Jabatan Kerja Raya (JKR) perlu senantiasa berfikiran di luar kotak kelaziman.

Timbalan Menteri Kerja Raya Mohd Anuar Mohd Tahir berkata JKR memerlukan warga kerja yang berdedikasi, beriltizam serta bertekad untuk memberikan perkhidmatan terbaik.

“Kita perlu sentiasa melipatgandakan usaha bagi memastikan pelanggan sentiasa berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan serta berkeyakinan tinggi terhadap segala kerja yang dilaksanakan oleh Jabatan.

“JKR perlu sentiasa responsif kepada setiap isu dan permasalahan yang timbul sama ada dari sudut positif atau negatif supaya keberadaan JKR sentiasa di hati rakyat, ” katanya semasa berucap merasmikan Mesyuarat Pegawai Kanan (SOC) JKR Malaysia 2019 di sini hari ini yang dihadiri 400 pegawai kanan JKR seluruh negara.

Mohd Anuar berkata keupayaan dan kemampuan  JKR sebagai agensi teknikal utama negara akan pasti dinilai dalam pelaksanaan projek-projek pembangunan kerajaan dibawah Rancangan Malaysia ke-11.

Loading...

“Justeru mesyuarat seumpama in amatlah bertepatan sebagai platform untuk bersama-sama mencambah minda, merangka inisiatif dan pelan strategik bagi meneruskan kecemerlangan dan kejayaan organisasi demi kelangsungan JKR,” katanya.

Dalam pada itu Mohd Anuar turut mengingatkan warga JKR agar sentiasa berintegriti dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.

“Baru-baru ini , Pelan AntiRasuah Nasioanl (NACP) 2019-2023 telah dilancarkan dan dilaksanakan berdasarkan 22 strategi  yang akan diberi keutamaan bagi enam sektor iaitu politik, perolehan awam, penguatkuasaan undang-undang, pentadbiran sektor awam, perundangan dan kehakiman serta tadbir urus korporat.

“Saya berharap pelan ini akan meletakkan asas-asas dasar yang akan membentuk budaya  dan sistem yang berteraskan governans dann integriti dan seterusnya berupaya mengekang budaya rasuah di dalam negara,” katanya.