Suntikan wajib dua vaksin perlu pindaan undang-undang

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya perlu membuat sedikit pindaan undang-undang sedia ada sebelum mewajibkan dua suntikan vaksin, iaitu MMR yang membabitkan penyakit rubella, campak, beguk serta difteria.

Beliau berkata, pihaknya akan mewajibkan suntikan dua vaksin itu setelah mengadakan perbincangan secara terperinci.

“Saya harap ia akan dapat bermula sebaik sahaja kita membuat keputusan bersama Kementerian Pendidikan (KPM) dan juga Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

“Ini cadangan banyak pihak terutama dengan pakar-pakar dalam Persatuan Pediatrik Malaysia, dan yang lain-lain turut memberi cadangan kepada saya mengenai vaksin ini.

“Bagaimanapun ia memerlukan sedikit pindaan undang-undang untuk dijadikannya sebagai mandatori (dua vaksin). Sebab itu langkah ini kita ambil agak cermat.

Loading...

“Kita juga ada sidang Parlimen nanti, mungkin bukan sidang yang terdekat ini untuk dibawa usul, tetapi pada sidang seterusnya.. InsyaAllah..,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program Gotong-Royong Mega Perangi Aedes Peringkat Kebangsaan 2019, di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Alam, Fasa 2, Cheras, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Dr Zulkefly berkata tujuan utama program ini dijalankan adalah untuk menerapkan nilai murni masyarakat terhadap kebersihan kawasan sekitar.

Katanya, pemantauan pihaknya menunjukkan peningkatan ketara melibatkan kes dan kematian denggi pada 10 minggu pertama tahun ini.

“Secara kumulatif, kes denggi yang dilaporkan dari Januari sehingga 7 Mac tahun ini, adalah sebanyak 28,580 kes berbanding 11,146 kes bagi tempoh yang sama tahun 2018, iaitu peningkatan 156.4 peratus.

“Pada tempoh sama, jumlah kumulatif kematian akibat denggi adalah sebanyak 49 kematian, berbanding 26 kematian bagi tempoh yang sama tahun 2018, iaitu peningkatan 88.5 peratus.

“Pada peringkat kebangsaan kali ini, PPR Seri Alam dipilih sebagai lokasi kerana penglibatan komuniti dan sukarelawan Program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (COMBI) yang memberangsangkan,” katanya.

Berita  Asal: https://malaysiadateline.com/suntikan-wajib-dua-vaksin-perlu-pindaan-undang-undang/