LGBT Mencabar Pihak Berkuasa

LGBT Mencabar Pihak Berkuasa

Pertubuhan Pengamal Undang-undang & Hak Asasi Manusia Malaysia (ProGuam) menggesa pihak polis segera mengambil tindakan terhadap kumpulan LGBT yang dengan terbuka melakukan kempen mempromosikan LGBT di ibu kota semalam. Slogan “hidup LGBT” dan “Jangan Kacau LGBT” merupakan kempen secara langsung kumpulan ini tanpa menghiraukan sensitiviti masyarakat umum.

Bukan setakat slogan yang dilaungkan, malah bendera pelangi yang menjadi identiti kumpulan LGBT ini juga bebas dipromosikan. Pihak polis sebenarnya mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan termasuk merampas segala peralatan yang mempromosikan LGBT tersebut.

Saya masih ingat ketika mewakili sekumpulan Jabatan Amal yang ditahan dan didakwa ketika demonstrasi mansuhkan ISA satu ketika dahulu. Kumpulan ini didakwa di Mahkamah atas alasan ia tidak berdaftar dengan ROS. Bukan setakat ditahan, malah uniform mereka turut dirampas. Malah, Presiden UMNO Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga pernah mengarahkan pihak polis untuk mengambil tindakan ke atas anggota Jabatan Amal atas alasan yang sama.

Justeru saya melihat pihak polis seharusnya tidak bersikap double standard dan hanya menunggu arahan untuk mengambil tindakan terhadap kumpulan yang mempromosikan LGBT ini. Mereka bukan sahaja bergerak tanpa sebarang pendaftaran yang sah di sisi undang-undang Malaysia, malah dengan giat mencetuskan ketidakselesaan masyarakat umum dengan mempromosikan kumpulan mereka secara terbuka.

Hak asasi tidak seharusnya menghalalkan apa yang telah diharamkan oleh agama. Tidakkah pihak berwajib melihat tindakan mereka ini sebagai laungan secara langsung mencabar reaksi rakyat? Janganlah kita menunggu sehingga kerajaan difitnah kononnya menyokong kumpulan LGBT ini akibat lemahnya penguatkuasaan.

Loading...

Noorazmir Zakaria

Presiden ProGuam