Mahkamah tolak permohonan Khalid Samad batal pembelaan Presiden GMIM

Mahkamah tolak permohonan Khalid Samad batal pembelaan Presiden GMIM

Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abd Samad untuk membatalkan penyataan pembelaan difailkan Presiden Gerakan Muslimah Islam Malaysia (GMIM) Wan Asshima Kamaruddin.

Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad membuat keputusan itu di dalam kamar dengan dihadiri peguam Muhammad Rafiqree Hamka, yang mewakili Khalid selaku plaintif dan peguam Wan Rohimi Wan Daud bertindak bagi pihak Wan Asshima yang dinamakan sebagai defendan.

Ketika ditemu media, Wan Rohimi memberitahu bahawa mahkamah menolak permohonan Khalid  dengan kos RM3,000 dan menetapkan 9 April untuk pengurusan kes.

Peguam Muhammad Rafiqree Hamka berkata Khalid akan mempertimbangkan sama ada memfailkan rayuan atau tidak.

Ketika ditanya apakah alasan mahkamah menolak permohonan anak guamnya,  Muhammad Rafiqree berkata mahkamah berpendapat perbicaraan perlu dijalankan dalam kes saman itu.

Loading...

Khalid, 62, memfailkan permohonan itu November tahun lepas, atas alasan pembelaan yang digunakan oleh defendan adalah remeh, menyusahkan dan menyalahgunakan proses mahkamah.

Pada 13 Sept tahun lepas,  Khalid menyaman Wan Asshima, 35, selepas mendakwa  defendan pada 18 Ogos tahun lepas dengan sengaja merakam, memuat naik dan/atau menerbitkan sebuah video yang mengandungi kata-kata fitnah dalam laman Facebook miliknya yang boleh dicapai di  https://www.facebook.com/wanasshima, yang secara langsung merujuk kepada Khalid kerana nama dan jawatannya telah disebut secara spesifik.

Mengikut penyataan tuntutan, Khalid, yang juga Anggota Parlimen Shah Alam, mendakwa kata-kata fitnah berkenaan antara lain membawa maksud bahawa plaintif telah mengiktiraf dan mengiyakan kedudukan LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) di Malaysia, menaik taraf serta melindungi hak golongan itu  kerana berjaya menganjurkan dan meluluskan pesta gay yang terbesar di Kuala Lumpur sempena bulan Merdeka.

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) itu mendakwa rakaman itu juga menyatakan bahawa beliau atas kapasiti sebagai menteri, pemimpin Amanah dan individu telah mencabuli hak asasi manusia beragama Islam, mencabuli undang-undang dan peraturan agama Islam yang termaktub dalam al-Quran dan sunah, menghina kedudukan agama Islam serta menggugat kedudukan wanita beragama Islam apabila menghalalkan dan/atau meluluskan pesta gay terbesar di Kuala Lumpur.

Khalid menegaskan tindakan defendan memuat naik dan/atau menerbitkan kata-kata fitnah itu suatu yang disengajakan, dibuat tanpa sebarang usul periksa dan dengan niat jahat bagi mendorong orang ramai khususnya umat Islam membenci beliau dan oleh itu plaintif menuntut perintah ganti rugi teladan dan ganti rugi melampau daripada defendan.

Plaintif turut memohon defendan menerbitkan permohonan maaf melalui satu video untuk dimuat naik dalam laman Facebook defendan dan secara bertulis untuk diterbitkan di dalam akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian dalam masa 48 jam daripada tarikh perintah ke atas writ saman itu dalam bentuk dan istilah yang dipersetujui oleh plaintif dan defendan hendaklah bertanggungjawab menanggung segala kos penerbitan permohonan maaf itu.