BN akan mesyuarat segera bincang masa depan – Mohamad Hasan

BN akan mesyuarat segera bincang masa depan – Mohamad Hasan

Satu mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Barisan Nasional (BN) akan diadakan dalam masa terdekat untuk membincang kenyataan MCA dan MIC yang bertindak mengeluarkan kenyataan bersama mahu melihat kemungkinan menubuhkan gabungan parti yang baharu.

Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan berkata beliau mengambil maklum luahan tidak puas hati oleh presiden MCA dan presiden MIC dan beliau tidak akan mengetepikan begitu sahaja perkara itu.

“Malah, saya percaya wujud keperluan untuk BN memberi perhatian yang sewajarnya kepada perkara ini dan bersama-sama mencari jalan penyelesaian yang terbaik.

“Saya berharap isu ini tidak dipolitikkan secara tidak bertanggungjawab oleh mana-mana pihak. Sebaliknya, saya menyeru semua pihak untuk bersama-sama duduk berbincang bagi memeta jalan hadapan yang lebih baik kepada BN dan negara Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Katanya maklumat mengenai mesyuarat itu juga akan dimaklumkan sedikit masa lagi.

Loading...

Dalam pada itu, Mohamad berkata adalah sangat kritikal untuk semua pihak tidak bertindak melulu atau bersifat pukul rata.

“…Khususnya dengan terus mengambil kenyataan seorang dua pemimpin dari mana-mana parti komponen yang tidak pun mewakili pendirian BN sebagai perkara pokok dalam menilai semula status serta masa depan BN,” katanya.

Terdahulu dalam satu kenyataan bersama, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Tan Sri S.A Vigneswaran telah menyatakan cadangan untuk meneroka perikatan baharu selepas percaya kerjasama dengan UMNO dalam Barisan Nasional (BN) tidak lagi mencerminkan hasrat sebenar perpaduan dalam kalangan parti.

Kenyataan itu bagaimanapun dibidas oleh Setiausaha Agung BN Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang dilaporkan berkata MCA dan MIC harus meninggalkan BN.

UMNO, MCA dan MIC ialah tiga komponen parti asal dari era Perikatan yang telah bersama-sama menubuhkan BN pada tahun 1974. Pada kemuncaknya, BN dianggotai 13 parti komponen termasuk Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) serta parti-parti tempatan Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun, semua parti melainkan UMNO, MCA dan MIC telah bertindak keluar BN setelah parti itu kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum ke-14  (PRU14) Mei tahun lepas.