Negeri Sembilan alu-alukan pembinaan kilang vaksin halal

Negeri Sembilan alu-alukan pembinaan kilang vaksin halal

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun mengalu-alukan sekiranya benar ada pihak yang hendak membina kilang vaksin halal di negeri ini.

Bagaimanapun, sehingga kini beliau belum mendapat maklumat tentang perkara itu yang dilaporkan dalam akhbar dan akan menyemaknya.

“Jika laporan itu betul, saya mengalu-alukannya dan berharap kilang vaksin halal itu dibina di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Bantuan N9 Bas 2019 di Sekolah Kebangsaan Kuala Klawang di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian Dan Industri Asas Tani negeri Bakri Sawir, Pengarah Pendidikan negeri Datuk Pkharuddin Ghazali, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri Mohamad Hapil dan Pegawai Daerah Jelebu Wan Mud Shardihan W. Dahalan.

Beliau diminta  mengulas kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh semalam bahawa sebuah kilang vaksin halal pertama di negara ini akan dibina di Negeri Sembilan tidak lama lagi.

Loading...

Menurut Fuziah, walaupun pembinaan kilang itu akan mengambil masa untuk disiapkan, ia adalah langkah terbaik boleh dilakukan kerajaan untuk meningkatkan keyakinan ibu bapa terhadap vaksin yang dikeluarkan serta diberikan kepada anak-anak mereka.

Aminuddin berkata beliau akan berbincang dengan Fuziah mengenai hasrat kerajaan pusat itu.

Mengenai majlis itu, beliau berkata seramai 1,230 orang murid di negeri ini akan menerima bantuan itu pada tahun ini.

Katanya Bantuan N9 Bas ialah bantuan anak ke sekolah yang merupakan usaha kerajaan negeri untuk membantu keluarga yang berpendapatan rendah dan ingin meringankan tanggungjawab ibu bapa untuk perbelanjaan persekolahan anak-anak mereka.

Katanya bantuan ini diberikan kepada murid tahun 1 hingga tahun 6 yang berada di dalam senarai e-kasih, yang bersekolah di sekolah kerajaan atau sekolah bantuan kerajaan di Negeri Sembilan.

“Pelaksanaan Bantuan N9 Bas ini adalah bermula dari bulan Januari sehingga November 2019. Murid yang menerima Bantuan N9 Bas akan diberi bantuan sebanyak RM50 sebulan selama 11 bulan. Bantuan diagih secara bulanan oleh pihak sekolah kepada penerima. Bantuan N9 Bas ini akan disalurkan oleh Pejabat Menteri Besar terus ke akaun Sumbangan Wang Awam (SUWA) di sekolah.

“Bantuan tambang bas bulanan sebanyak RM50 kepada murid dari keluarga yang berpendapatan rendah merupakan salah satu tawaran manifesto Pakatan Harapan Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu,” katanya.

Katanya kerajaan negeri memperuntuk RM1 juta dalam Belanjawan Negeri Sembilan 2019 untuk bantuan itu yang pertama kali diperkenalkan.

Beliau tidak menolak kemungkinan bantuan itu akan diperluaskan lagi kepada pelajar sekolah menengah pada tahun hadapan.

“Untuk peringkat awal ini biarlah di sekolah rendah dahulu untuk kita lihat keberkesanan bantuan ini dan jika ada keperluan, bantuan ini akan diperluaskan ke  sekolah menengah pada tahun hadapan. Ini bergantung kepada hasil kerajaan negeri yang kita kutip dan insyaAllah, jika terus memberangsangkan kita akan gunakan untuk faedah rakyat seluruhnya,” katanya.