Kerajaan bayar RM200 juta faedah hutang ECRL – Dr Mahathir

Kerajaan bayar RM200 juta faedah hutang ECRL – Dr Mahathir

Kerajaan telah menjelaskan bayaran faedah sebanyak RM200 juta kepada kontraktor utama Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata bayaran faedah terhadap hutang berjumlah RM55 bilion itu dibuat kepada China Communications Construction Company (CCCC), selaku kontraktor utama ECRL.

“Dalam enam bulan ini, untuk faedah sahaja, kita terpaksa bayar RM200 juta atas hutang RM55 bilion yang dibuat kerajaan terdahulu.

“Duit ini sepatutnya digunakan untuk membantu rakyat tetapi terpaksa digunakan untuk membayar hutang yang ditinggalkan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Landskap Negara di Taman Botani di sini hari ini.

Projek ECRL adalah pengangkutan awam penumpang dan kargo sepanjang 688 kilometer yang dilancarkan pada Ogos 2017 dan dijadualkan siap pada 2024, kini dikaji semula kerajaan Pakatan Harapan dengan rundingan di antara Malaysia dan China masih dijalankan.

Loading...

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata perbincangan pihaknya dengan kontraktor terbabit juga mendapati projek itu boleh dilaksanakan dengan kos RM35 bilion, jauh lebih rendah berbanding harga RM55 bilion yang dipersetujui kerajaan dahulu.

“Dia boleh buat dengan kos RM35 bilion sahaja tetapi kenapa kontrak sehingga RM55 bilion, mungkin kerana mahu ‘curi duit’ itu,” katanya.