Amanah perlu sedia pendekatan dan strategi baharu dekati masyarakat

Amanah perlu sedia pendekatan dan strategi baharu dekati masyarakat

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu mahu pemimpin dan anggota parti supaya mengambil perhatian terhadap kerjasama UMNO dan PAS serta merangka pendekatan dan strategi baharu bagi mendekati masyarakat khususnya orang Melayu.

Dalam satu kenyataan media hari ini, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata anggota parti itu perlu menyedari mengenai hakikat itu terutama isu kerjasama antara UMNO dan PAS.

Beliau berkata hubungan kedua-dua parti itu kini semakin intim ke arah pembentukan sebuah gabungan politik dan ia dapat dilihat termasuk dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Sabtu lepas.

Katanya anggota Amanah juga perlu bersedia untuk menghadapi serangan dalam pelbagai isu terutama bagi menguasai majoriti umat Islam dan rakyat Malaysia sekarang dan pada masa akan datang.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata pendekatan Islam Rahmat Untuk Semua atau Rahmatan Lil Alamin perlu lebih menonjol untuk diterjemahkan dengan mengambil kira kewujudan pelbagai kaum dan agama di Malaysia.

Loading...

“Bersama Pakatan Harapan (PH), Amanah akan terus berusaha menghadapi politik order baharu ini bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 akan datang,” katanya.