Polis Johor ingatkan netizen buat komen secara matang

Polis Johor ingatkan netizen buat komen secara matang

Polis Johor mengingatkan orang ramai supaya lebih matang dalam mengeluarkan komen di laman media sosial terutama melibatkan isu sensitif seperti keagamaan.

Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata kecenderungan mereka untuk berbuat demikian hanya akan menggugat keamanan negara.

“Saya nak nasihatkan mereka di luar sana yang suka komen dalam Facebook dan sebagainya…apa yang awak dapat bila komen agama orang lain? .

“Kita sebagai satu negara mempunyai berbagai-bagai bangsa. Kita agama kita, awak agama awak, saya agama saya. Kita buat cara kita (sendiri).

“Kita tidak perlu komen antara satu sama lain. Saya rasa dengan cara begitulah baru kita boleh hidup dalam keadaan aman,” katanya dalam sidang media selepas prapelancaran Program Hari Bertemu Pelanggan Mega Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor di Aeon Mall Kulai, hari ini.

Loading...

Mohd Khalil berkata sebarang tindakan yang sengaja mencetuskan ketegangan dalam masyarakat boleh diambil tindakan mengikut undang-undang dan setakat ini, dua individu telah pun ditahan berhubung perkara itu.

Menyentuh perkara lain, Mohd Khalil memberitahu pihaknya akan menawarkan diskaun sebanyak 50 peratus untuk saman kepada orang ramai yang berkunjung ke Hari Bertemu Pelanggan Mega di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, 9 Mac ini.

“Diskaun terpakai untuk pelbagai kesalahan kecuali saman kemalangan tahun semasa, saman berstatus waran tahun semasa, saman dalam perbicaraan, saman berkaitan lori dan saman Op Selamat tahun semasa,” katanya.