Kementerian Kewangan sumbang RM5 juta untuk cetak, edar Al-Quran terbitan Nasyrul Quran

Kementerian Kewangan sumbang RM5 juta untuk cetak, edar Al-Quran terbitan Nasyrul Quran

Kementerian Kewangan hari ini menyerahkan peruntukan RM5 juta kepada Yayasan Restu bagi pengurusan mencetak dan menyebar Al-Quran oleh Kompleks Nasyrul Quran di sini.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng menyerahkan cek peruntukan itu kepada Pengerusi Yayasan Restu Datuk Abdul Latiff Mirasa di kompleks itu yang terletak di Presint 14 di sini. Ia turut disaksikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Lim dalam ucapannya berkata sumbangan bagi kegunaan tahun ini kepada institusi tersebut merupakan komitmen kerajaan Pakatan Harapan selaras dengan kedudukan Islam sebagai agama rasmi persekutuan.

“Peruntukan ini diharap dapat menyokong operasi Nasyrul Quran untuk 2019 dalam matlamatnya mencetak 500,000 naskah Al-Quran Mushaf Malaysia tahun ini,” katanya.

Mujahid pula berkata peruntukan itu akan melancarkan lagi pengoperasian Nasyrul Quran, sekaligus mencetak dan mengedar Al-Quran Mushaf Malaysia yang kini mendapat permintaan tinggi dunia.

Loading...

“Ia secara tidak langsung akan memastikan manuskrip yang disalin tangan dengan ragam berteraskan seni Islam tempatan itu menjadi mercu tanda negara dalam usaha penyebaran Al-Quran dan dakwah,” katanya.

Nasyrul Quran, yang dibina dengan kos RM60 juta, merupakan kompleks percetakan Al-Quran kedua terbesar dunia. Ia memulakan operasi percetakan dan penjilidan secara rasmi pada Jun 2017.