Hukuman lebih berat kepada penghina agama – Mujahid

Hukuman lebih berat kepada penghina agama – Mujahid

Kesalahan menyuntik kebencian dan penghinaan terhadap mana-mana agama akan dimasukkan dalam Kanun Keseksaan (Akta 574).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, berkata pindaan terhadap Akta 574 itu secara dasarnya mendapat persetujuan dan akan dibentangkan ke Kabinet, sebelum usul pindaannya dibawa pada sidang Dewan Rakyat, bulan depan.

Katanya, pindaan akta berkenaan bakal menyaksikan hukuman lebih berat menanti pesalah, selain mengetatkan beberapa proses pendakwaan termasuk operasi prosedur standard (SOP) pembuktian di mahkamah.

“Secara dasarnya, kita bersetuju menangani isu kebencian kaum dan agama, termasuk menghina Islam serta Rasulullah dengan niat, dimasukkan dalam Kanun Keseksaan untuk pindaan.

“Ia bagi memastikan hukuman lebih tegas terhadap penghina agama termasuk Islam. Kita buat dalam Kanun Keseksaan kerana sudah ada peruntukan, cuma nak bagi ketat dan ‘ummphh’ (padu) lagi.

Loading...

“Kita mengharapkan dapat dibentang (di Parlimen) pada Mac ini, sebelum itu ia perlu dibawa ke Kabinet. Selepas itu, ia akan dimasukkan dalam Aturan Urusan Mesyuarat (AUM),” katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Standard Penarafan Majlis di Wilayah Persekutuan dan Penyampaian Watikah Jawatankuasa Kariah Masjid serta surau Jumaat sesi 2018-2020, di sini.

Seorang operator kilang, A Taneson, 22, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam, hari ini atas kesalahan menghina Nabi Muhammad melalui akaun Facebook miliknya, Selasa lalu.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Rini Triany Muhamad Ali.

Mengikut pertuduhan, Taneson didakwa memuat naik ayat menghina Nabi Muhammad melalui akaun Facebook miliknya iaitu ‘Sarkat Tanesan’.

Tindakan itu boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan, perasaan permusuhan, benci membenci atau niat jahat atas alasan agama antara kumpulan beragama Islam dengan kumpulan bukan beragama Islam di seluruh negara.

Mujahid berkata, pindaan Akta 574 dilaksanakan susulan peningkatan mendadak kes penghinaan dan tindakan menyuntik kebencian terhadap agama di negara ini.

“Orang tanya kenapa tidak akta Islam? Sebab ini ialah persekutuan, nanti kalau akta Islam, Wilayah Persekutuan saja (yang termaktub dengan perundangan terbabit.

“Kita perlukan akta di peringkat nasional bagi mengendalikan isu sama ada dia menimbulkan kebencian antara agama atau perkara membawa kepada provokasi yang mengundang kemarahan dalam kalangan masyarakat.

“Individu yang menghina Rasulullah juga akan dimasukkan dalam perenggan ini tetapi dengan syarat ditentukan sebagai prosedur pembuktian,” katanya.