Bermain drone beri kepuasan kepada penggemar

Bermain drone beri kepuasan kepada penggemar

Penggunaan drone, yang sering digunakan untuk mengambil  gambar serta video untuk tujuan rekreasi, kajian, pencerapan atau pengintipan, kini turut dijadikan sebagai sebahagian daripada aktiviti pelbagai peringkat usia khususnya generasi muda.

Drone dikenali sebagai pesawat tanpa pemandu (UAV) yang diterbangkan dengan menggunakan alat kawalan jauh atau melalui komputer sehingga berkemampuan melakukan apa sahaja atas arahan  pengendalinya.

Bagi penggemar permainan alat kawalan jauh itu, Muhammad Adam Mohd Khuzairi, 18, dari Selayang, Selangor berkata, bermain drone memberi satu kepuasan bagi dirinya yang meminati permainan itu sejak  berusia 14 tahun lagi.

Muhammad Adam, yang lebih dikenali sebagai ‘Adam Junior’, berkata beliau lebih suka bermain drone yang lebih mudah untuk dikendalikan berbanding alat permainan kawalan jauh seperti helikopter dan  kapal terbang.

“Saya sukakan kelajuan, drone ini lebih laju selain senang dan stabil hendak terbangkan berbanding  helikopter yang agak berat,” katanya ketika ditemui Bernama pada Pertandingan Drone For Speed Ambush @ TT5 anjuran Drone For Speed dengan kerjasama Kapal Korek Tanjung Tualang No 5 (TT5) di sini hari ini.

Loading...

Muhammad Adam, yang juga anak sulung daripada tiga beradik itu, sering menyertai beberapa perlumbaan drone termasuk di peringkat antarabangsa seperti di Singapura, Thailand, Brunei dan Indonesia.

Lebih membanggakan, baru-baru ini beliau muncul juara keseluruhan perlumbaan drone di The South East Asian Drone Race Championship (SEADRC) yang diadakan di Brunei pada Januari lepas.

Sementara itu, pengurus pertandingan yang juga penganjur Drone For Speed, Jason Chi berkata ramai yang menggemari permainan drone kerana ia lebih selamat selain mereka lebih gemarkan kelajuan  berbanding alat kawalan jauh yang lain.

“Permainan drone ini bukan hanya untuk golongan atasan tetapi golongan pertengahan juga  mampu bermain permainan ini kerana bagi set peralatan drone ada dijual serendah RM700 dan ia boleh  mencecah lebih RM10,000 mengikut kemampuan masing-masing.

“Kita mempunyai pelbagai perancangan untuk menganjurkan lebih banyak perlumbaan dron ini untuk  mencungkil lebih ramai bakat tidak kira usia supaya kita dapat menghantar lebih ramai menyertai pertandingan di peringkat antarabangsa.

Beliau berharap kerajaan dapat memberi sokongan kepada permainan drone ini supaya ia dapat  diangkat sebagai antara sukan alat kawalan jauh di negara ini.

Seramai 28 peserta terdiri daripada Malaysia, Thailand dan Singapura menyertai pertandingan itu yang diadakan selama dua hari bermula hari ini dan pemenangnya akan diumumkan esok.