Tindakan terancang serta mempunyai motif yang tidak baik

Tindakan terancang serta mempunyai motif yang tidak baik

Pemuda AMANAH Nasional memandang serius isu penemuan berhala yang diletakkan di dalam kawasan Surau Sabilul Huda, Taman Pendamar Indah, Pelabuhan Klang semalam. Kami mengutuk sekeras-kerasnya insiden ini, ia sudah pasti akan mengundang kegusaran dan suasana tidak baik dalam kalangan masyarakat khususnya orang Islam.

Kami melihat, tindakan adalah terancang serta mempunyai motif yang tidak baik dalam menyemarakkan lagi sengketa perkauman di dalam negara ini setelah dihidupkan oleh pihak-pihak tertentu kebelakangan ini. Kami yakin dalang di sebalik kejadian ini melakukannya dengan sengaja untuk meniup sentimen api agama dan perkauman untuk memecah-belahkan perpaduan antara masyarakat.

Insiden ini harus dikutuk oleh semua pihak, dan kami yakin golongan bukan Islam turut membantah provokasi melampau seperti ini kerana ia tidak mencerminkan akhlak dan budaya rakyat Malaysia. Dalam provokasi ini pasti ada matlamatnya tersendiri, namun mereka tidak memikirkan akibatnya kepada negara Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

Pemuda AMANAH Nasional mendesak kerajaan dan pihak berkuasa mengambil tindakan segera dan memastikan agar dalam provokasi melampau ini dijatuhkan hukuman yang setimpal dengan perbuatannya yang terkutuk itu. Kami yakin kerajaan sangat komited dan tegas untuk memastikan keharmonian negara dapat dikekalkan biarpun ia cuba dicabuli oleh pihak-pihak tertentu demi matlamatnya yang songsang. Tindakan tegas secara tuntas itu sangat penting agar perbuatan-perbuatan terkutuk ini tidak berterusan kerana ia mampu menyebabkan ketegangan antara rakyat berbilang agama dan bangsa di dalam negara Malaysia.

Pemuda AMANAH Nasional menyeru agar rakyat Malaysia berwaspada dan tidak bertindak balas terhadap provokasi-provokasi murahan seperti ini, serahkan ia pada pihak berkuasa untuk menanganinya melalui peruntukan undang-undang yang sedia ada. Kami yakin, rakyat Malaysia sudah matang untuk menilai provokasi murahan seperti ini dan pihak yang tidak bertanggungjawab perlu tahu tindakan mereka tidak akan berjaya mencapai matlamat yang mereka inginkan.

Loading...

“Keamanan bukan bermaksud tiada konflik, ia adalah keupayaan untuk menangani konflik dengan cara yang damai.” (Ronald Reagan, Presiden Amerika Syarikat Yang Ke-40)

21 Februari 2019 / 16 Jamadil Akhir 1440H

KEVIN SHAWN GOMEZ
Naib Ketua
Pemuda AMANAH Nasional
merangkap Pengerusi Integrasi Nasional