Mohd Hafarizam tak mengaku terima wang haram RM15 juta dari Najib

Mohd Hafarizam tak mengaku terima wang haram RM15 juta dari Najib

Peguam yang juga Penasihat Undang-undang UMNO, Datuk Mohd Hafarizam Harun didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima wang berjumlah RM15 juta daripada Datuk Seri Najib Tun Razak yang dimasukkan ke dalam akaun firma guaman peguam itu.

Mohd Hafarizam, 47, yang banyak mewakili  Najib  dalam kes saman sivil bekas Perdana Menteri itu,  mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan ke atasnya dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azman Ahmad.

Mengikut pertuduhan pertama, Mohd Hafarizam, didakwa melibatkan diri secara langsung dalam dua transaksi yang melibatkan hasil daripada aktiviti haram, iaitu dengan menyebabkan hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM11,500,000.00 melalui dua keping cek AmIslamic Bank Berhad milik Najib dimasukkan ke dalam akaun firma guaman Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak (HWAM) di CIMB Bank Berhad.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Cawangan PWTC, Suite 1, Level 5, Menara Dato’ Onn, Jalan Tun Ismail, di sini antara 16 April 2014 dan 4 Nov 2014.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd Hafarizam didakwa melakukan kesalahan sama  berjumlah RM3,500,00.00 melalui sekeping cek AmIslamic Bank Berhad milik Najib, yang dimasukkan ke dalam akaun firma guaman sama di CIMB Bank Berhad di tempat sama pada 12 Feb 2015.

Loading...

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Pertuduhan itu memperuntukkan hukuman penjara penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustafa P. Kunyalam mencadangkan Mohd Hafarizam diikat jamin dengan jaminan RM500,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Peguam Datuk Hasnal Rezua Merican yang mewakili Mohd Hafarizam berkata pihaknya bersetuju dengan tawaran jaminan dan syarat  menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Azman membenarkan Mohd Hafarizam diikat jamin RM500,000 dan syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah sehingga kes selesai dan menetapkan 25 Mac untuk sebutan semula kes.

Dalam prosiding sama, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memberitahu mahkamah bahawa  kes seorang individu warga Britain iaitu bekas penasihat media Najib, Paul Stadlen telah didaftarkan di mahkamah secara in absentia, semalam, bagi mendapatkan waran tangkap terhadap lelaki itu.

“Terdapat kes Paul Stadlen didaftarkan di mahkamah berasingan di sini semalam dan waran tangkap telah dikeluarkan terhadapnya. Sekiranya beliau berjaya dijumpai dan dituduh secara fizikal di mahkamah, kes Mohd Hafarizam dan kes ini akan dipohon untuk dibicarakan bersama. Usaha mengesan beliau (Stadlen) telah dijalankan, pohon satu tarikh sebutan semula kes,” kata Ahmad Akram.

Ahmad Akram ketika ditemui pemberita memberitahu langkah yang dilakukan untuk memburu Stadlen adalah mendaftarkan kes di mahkamah, mendapatkan waran tangkap dan menyerahkan waran tangkap kepada Polis Antarabangsa (Interpol).

Stadlen dikatakan telah melarikan diri dari Malaysia selepas kekalahan bekas Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum ke-14 lepas.

Sementara itu Mohd Hafarizam yang memakai sut hitam kelihatan tenang dan tidak lekang dengan senyuman serta dilihat bertegur sapa dengan pengamal media serta rakan-rakannya yang mengerumuninya sebaik prosiding tamat.

Ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen untuk ke kaunter jamin bagi membayar wang jaminan, Mohd Hafarizam memberitahu beliau menyerahkan kesnya kepada pasukan pembelaan.

“Saya akan menyerahkan kepada barisan peguam saya yang diketuai Datuk Hasnal dan Datuk M.Reza Hassan untuk memberi yang terbaik. Oleh kerana kes ini telah pun disebut di mahkamah dan saya telah dituduh, maka ia telah menjadi subjudis. Jadi saya tidak boleh komen lebih, kecuali saya akan menggunakan forum mahkamah ini untuk membersihkan nama saya,” katanya.

Sebelum mahkamah bersidang bermula, Presiden UMNO yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hadir ke Mahkamah Sesyen untuk bertemu Mohd Hafarizam yang ketika itu berada di bilik saksi manakala selepas prosiding berakhir, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah tiba untuk bertemu Mohd Hafarizam.