Al-Quran wajib jadi panduan dan amalan kehidupan – Raja Perlis

Al-Quran wajib jadi panduan dan amalan kehidupan – Raja Perlis

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail bertitah mahu rakyat Perlis untuk mengamalkan bacaan Al-Quran dengan hukum tajwid yang betul, kerana ia merupakan tuntutan kepada umat Islam.

Baginda bertitah, hubungan dengan Al-Quran haruslah sentiasa berterusan, malah ianya tidak akan menjadi petunjuk kepada kehidupan umat manusia sekiranya dibaca tanpa memahami setiap baris ayat.

“Ilmu Al-Quran bukan sahaja dalam bidang agama, tetapi perlu diperluaskan kepada pelbagai bidang seperti bidang perubatan, sains, matematik dan lain-lain,” titah baginda ketika merasmikan majlis penutup Tilawah Al-Quran peringkat negeri di Dewan Warisan, malam ini.

Turut berangkat Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid, dan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. Turut hadir, Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man.

Baginda turut bertitah agar semua pusat tahfiz dan sekolah tidak hanya menghafal dan mendalami ilmu agama, malah pelajar perlu dibekalkan dengan ilmu asas seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan lain-lain.

Loading...

“Ilmu Allah itu luas dalam pelbagai bidang seperti ilmu sains, perubatan, dan sebagainya. Al-Quran yang diturunkan untuk sepanjang zaman,” titah baginda.

Pada majlis itu, baginda turut berkenan mengurniakan hadiah kepada para pemenang kategori qari dan qariah.

Johan qari dimenangi Muhammad Fathi Ahmad yang membawa pulang hadiah RM5,000 dan trofi manakala johan qariah disandang Norhusna Mohammad Saleh dengan membawa pulang hadiah sama.

Kedua-dua johan ini akan mewakili Perlis ke peringkat kebangsaan yang akan di adakan pada hujung Mac nanti di Negeri Sembilan.

Seramai 10 peserta qari dan sembilan qariah mengambil bahagian dalam pertandingan ini yang bermula pada 11 hingga 13 Feb lepas.