Calon PH akan siasat dakwaan bahan kempen ada unsur provokasi

Calon PH akan siasat dakwaan bahan kempen ada unsur provokasi

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Muhammad Aiman Zainali berkata beliau akan mendapatkan maklumat lanjut berhubung beberapa bahan kempen pihaknya yang dikatakan bersifat provokasi.

“Kami akan lihat, kalau boleh kami akan turunkan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan kunjungan ke rumah pengundi di Kampung Sentosa di sini hari ini.

Sejak semalam, terdapat beberapa kain rentang yang memaparkan logo PH bertulis “Kita Bukan Pencuri”, “Kita Bukan Pembohong” dan “Kita Bukan Perompak” telah dinaikkan di beberapa kawasan antaranya di persimpangan jalan di pekan Semenyih.

Sementara itu, Muhammad Aiman menafikan jentera kempennya terlibat dalam pengedaran risalah dan poster mengutuk bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya beliau tidak pasti pihak mana yang mengedarkan risalah berkenaan bagaimanapun memberi jaminan ia bukan diedarkan oleh pihak beliau dan jentera pilihan rayanya.

Loading...

“Saya tidak pasti pihak mana yang edar, yang pasti ia bukan daripada kami, pada saya adalah lebih baik kami berkempen secara sihat dan mengikut landas-landas demokrasi, biar pengundi yang tentukan siapa kalah dan siapa menang,” katanya

Sebuah akhbar tempatan hari ini melaporkan risalah provokasi berkenaan telah diedarkan semalam di kawasan tempat letak kenderaan di sebuah pasar raya terkenal di sini.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Aiman berkata beliau mendapat banyak aduan daripada masyarakat setempat yang mahukan penambahbaikan beberapa infrastruktur di sekitar daerah berkenaan.

“Antara isu yang banyak diadukan ialah kesesakan jalan raya, lampu jalan, isu banjir malah ada peniaga di pasar pagi dan pasar di Pekan Baharu Semenyih mengadukan mahu bumbung pasar mereka dibaiki kerana telah bocor. Perkara ini saya akan bantu sedaya-upaya saya untuk selesaikan, menang atau kalah saya tetap akan tolong penduduk Semenyih,” katanya.

PRK DUN Semenyih menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Muhammad Aiman, Zakaria Hanafi daripada Barisan Nasional (BN), calon Bebas Kuan Chee Heng dan Nik Aziz Afiq Abdul daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Ia diadakan berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor daripada Bersatu yang mewakili PH pada 11 Jan lepas akibat serangan jantung. Hari pengundian telah ditetapkan pada 2 Mac.