Nik Aziz calon PSM bagi PRK Semenyih

Nik Aziz calon PSM bagi PRK Semenyih

Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengumumkan Nik Aziz Afiq Abdul, 25,  sebagai calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Anggota Jawatankuasa Pusat PSM, S. Arutchelvan yang juga Pengarah PRK DUN Semenyih bagi PSM, berkata Nik Aziz Afiq ialah aktivis rakyat sepenuh masa dan Ahli Jawatankuasa Pusat Pemuda PSM sejak 2017.

“Beliau akan membawa obor anak muda bagi pilihan raya kecil ini, yang mana 45 peratus pengundi ialah orang muda berumur bawah 40 tahun,” katanya ketika majlis mengumumkan calon PRK Semenyih bagi PSM, di sini malam ini.

Menurut Arutchelvan, Nik Aziz Afiq, seorang usahawan muda yang mengendalikan pusat urutannya sendiri dipilih kerana banyak terlibat dalam pergerakan parti dan bukan kerana faktor demografik di mana beliau berbangsa Melayu.

Hadir sama, Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) Dr Nasir Hashim, Ahli Jawatankuasa Pusat PSM Dr Michael Jeyakumar dan Ketua Pemuda PSM Khalid Ismath.

Loading...

Sementara itu, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat menghadiri program santai bersama orang ramai di sebuah pasar raya besar di sini.

Beliau turut dilihat mengambil swafoto dengan orang ramai selepas tiba kira-kira 8.40 malam.

PRK Semenyih diadakan berikutan kematian penyandangnya Bakhtiar Mohd Nor, 57, yang merupakan Ketua Bersatu Bahagian Hulu Langat pada 11 Jan lepas akibat serangan jantung.

Penamaan calon PRK Semenyih ditetapkan Sabtu ini, manakala hari mengundi awal 26 Feb dan pengundian pada 2 Mac.