Menteri kesihatan arah KKM tutup Mawar Medical Centre

Menteri kesihatan arah KKM tutup Mawar Medical Centre

Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini menutup pengoperasian Mawar Medical Centre (MMC) di sini, setelah mendapati pusat perubatan itu gagal mematuhi keperluan perundangan bagi memastikan premis tersebut mempunyai lesen untuk beroperasi.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata tindakan penguatkuasaan itu diambil dengan waran selepas penguatkuasaan dijalankan di pusat perubatan tersebut.

“Lesen Mawar Medical Centre dibatalkan pada 14 Dis tahun lepas. Mawar Medical Centre juga didapati gagal mematuhi arahan Ketua Pengarah Kesihatan untuk memastikan semua pesakit dialisis daripada Mawar Medical Centre mendapat rawatan selanjutnya di hospital swasta atau pusat hemodialisis swasta lain yang berlesen selaras dengan ketetapan Peraturan 320(c), Peraturan-Peraturan Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (Hospital Swasta dan Kemudahan Jagaan Kesihatan Swasta Lain) 2006.

“Malah, kementerian mendapati Mawar Medical Centre menampal notis di premis itu, memaklumkan antara lain hanya akan menyediakan rawatan dialisis sehingga 14 Feb 2019 dan menasihatkan semua pesakit membuat perancangan sendiri bagi mendapatkan rawatan dialisis di hospital atau kemudahan jagaan kesihatan lain,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan pihaknya amat prihatin dan mengambil pelbagai langkah untuk membantu menyelesaikan isu pelesenan dihadapi MMC susulan peletakan jawatan semua pengamal perubatan pakar kecuali seorang pakar nefrologi yang berkhidmat di premis tersebut pada 5 Nov tahun lepas.

Loading...

“Antara langkah dimaksudkan termasuk lapan sesi perjumpaan bersama pengurusan dan wakil pihak Mawar Medical Centre dari November tahun lepas sehingga Januari 2019.

“Kementerian ingin menegaskan penutupan Mawar Medical Centre ini tidak melibatkan 13 cawangan pusat hemodialisis lain yang dilesenkan di bawah Pusat Hemodialisis Mawar (PHM).

“Pihak PHM boleh mengemukakan permohonan pindahan hak milik lesen bagi 13 cawangan tersebut kepada mana-mana badan bukan berasaskan keuntungan yang lain secara berasingan supaya bantuan kewangan dan subsidi pesakit-pesakit hemodialisis tidak terjejas,” katanya.

Dr Dzulkefly berkata bagi memastikan kesinambungan proses rawatan hemodialisis pesakit MMC, KKM telah mengenal pasti pusat-pusat hemodialisis alternatif yang akan digunakan untuk menyambung rawatan pesakit tersebut.

“Kementerian akan mengambil segala inisiatif untuk memastikan proses penempatan pesakit ke pusat-pusat alternatif berjalan lancar,” katanya.