Semua rumah tentera berkeluarga mesti 3 bilik, tegas Mohamad Sabu

Semua rumah tentera berkeluarga mesti 3 bilik, tegas Mohamad Sabu

Tiada lagi rumah keluarga tentera dua bilik pada masa akan datang bagi keselesaan anggota tentera, kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.

Beliau berkata usaha menaik taraf rumah tersebut menjadi tiga bilik sedang dilakukan secara berperingkat, mengikut peruntukan yang diterima.

Katanya, untuk Belanjawan 2019, kementeriannya menerima peruntukan RM120 juta untuk tujuan penyelenggaran rumah tentera, termasuk peruntukan tambahan berjumlah RM50 juta untuk menaik taraf.

“Peruntukan yang ada untuk disegerakan penambahbaikan rumah keluarga kerana kita tahu tentera memang hidup secara berkelompok dan semuanya dibuat di dalam kem. Bagaimanapun kedaifan dan jumlah rumah yang tidak cukup menyebabkan ramai memilih menetap di luar kem.

Kita mengambil perhatian serius dan sedang mengusahakan menaik taraf kuarters yang ada. Kita tahu rumah dua bilik tidak sesuai untuk mereka yang bekeluarga,” katanya pada sidang media di sini hari ini, selepas mengadakan lawatan kerja ke Kem 4 Briged Mekanize dan Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini, hari ini.

Loading...

Mohamad menambah projek menambah baik rumah keluarga tentera, yang dimulakan oleh kerajaan dahulu, juga telah hampir disiapkan untuk empat blok di perumahan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak, selain yang sedang dilaksanakan di Port Dickson, Negeri Sembilan dan di sini.

“Kita tidak ada jangkaan bila semua rumah dapat dijadikan tiga bilik kerana kita buat secara berperingkat. Kita kenal pasti dahulu keadaan rumah dan tahap keuzurannya kerana ada yang kritikal.

“Ada yang perlu dibaiki secara unit, ada yang (penambahbaikan) dilakukan mengikut blok kerana keadaan keseluruhan blok yang agak teruk. Jika ditanya, jumlah peruntukan yang ada memang tidak mencukupi tapi kita tetap berusaha sebaik mungkin,” katanya.