Nik Abduh menafikan audio kerana nak jaga parti

Nik Abduh menafikan audio kerana nak jaga parti

Anggota Jawatankuasa PAS Pusat Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata tindakan beliau menafikan rakaman audio mendakwa dirinya menerima dana daripada Barisan Nasional (BN) sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu kerana mahu menjaga reputasi parti yang disertainya.

Nik Mohamad Abduh yang juga anggota Parlimen Bachok berkata tindakan itu diambil selepas berbincang dengan rakan-rakan dalam parti bagi menutup sebarang isu yang mungkin akan digunakan oleh pihak lawan untuk memfitnah PAS.

“(Penafian terhadap rakaman audio) itu disiplin dalam parti. Kita mesti mengajar disiplin sama seperti bercakap benar. Tapi saya tangguh dulu, bincang dengan kawan-kawan dalam parti kerana ia melibatkan soal jemaah.

“Kalau saya benar, saya jawab sungguhlah audio itu suara saya, tapi bukan soal reputasi saya tapi soal parti,” katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa di sini, selepas pulang dari menghadiri mesyuarat PAS Pusat di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata walaupun Islam menggalakkan umatnya untuk bercakap benar namun ada beberapa perkara yang dibolehkan untuk berbohong.

Loading...

“Sebagai contoh ada orang yang dizalimi dikejar penzalim dan orang yang dizalimi lari minta pertolongan kita. Kita sembunyikan orang yang dizalimi dalam rumah kita. Kalau orang cari, kalau kita bercakap benar, maknanya kita bantu orang yang menzalimi maka pada masa itu ulama kata menipu adalah wajib. Itu dalam bab al-Kazib.

“Jadi saya memilih dalam bab Islah, nak jaga hubungan keharmonian dalam masyarakat supaya tidak mempercayai fitnah politik yang akan digunakan oleh Pakatan Harapan pada masa itu dan sampai sekarang. Maknanya pada masa itu PAS berdepan serangan fitnah sehingga kita terpaksa berhabis berjuta ringgit untuk membersihkan (nama),” katanya.

Semalam, PAS dilaporkan mengesahkan rakaman audio perbualan seorang individu menyentuh isu PAS menerima dana daripada UMNO memang suara milik Nik Mohamad Abduh.

Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan dipetik sebagai berkata perkara itu telah diakui Nik Mohamad Abduh sendiri namun konteks sebenar perbualan tersebut tidak diambil secara keseluruhan