Lebih 1,000 pegawai dan anggota polis di kerah bagi PRK Semenyih

Lebih 1,000 pegawai dan anggota polis di kerah bagi PRK Semenyih

Seramai 1,115 pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang dan 385 bantuan sumber luar bertugas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih pada 2 Mac depan, kata Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim.

Beliau berkata ini adalah untuk memastikan kesiapsiagaan fizikal, emosi dan rohani sepanjang proses PRK berkenaan berlangsung.

“Sebanyak tiga Unit Ketenteraman Rusuhan Awam  dan lima platun infantri dari Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) siap sedia diatur gerak bagi  berhadapan dengan  sebarang kemungkinan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.

“Para petugas juga diingatkan agar melaksanakan tanggungjawab secara berhemah dan profesional demi menjaga nama baik PDRM,” katanya pada  program lawatan kerja Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin  di Batalion 4, PGA, di sini hari ini.

Noor Rashid berkata orang ramai tidak perlu rasa takut dan bimbang untuk keluar menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi kerana aspek keselamatan mereka menjadi keutamaan PDRM.

Loading...

Beliau berkata PDRM juga memberi jaminan bahawa jentera PDRM telah bersedia sepenuhnya menyusun strategi penugasan yang berkesan dan menyeluruh bagi memastikan proses PRK berjalan lancar.

PRK Semenyih diadakan berikutan kematian wakil rakyat daripada PH, Bakhtiar Mohd Nor akibat serangan jantung pada 11 Jan lalu.

Ia adalah yang keempat diadakan di Selangor selepas PRU14. Sebelum ini, Selangor menyaksikan penentuan di tiga PRK iaitu bagi DUN Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong.