Mampukah PH lawan gabungan BN dan PAs di Semenyih

Mampukah PH lawan gabungan BN dan PAs di Semenyih

Prestasi cemerlang Pakatan Harapan (PH) di Selangor diyakini dapat mengekalkan penguasaan pakatan itu di Semenyih pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN)  berkenaan walaupun terdapat kerjasama Barisan Nasional (BN) dan PAS.

Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata berdasarkan pencapaian pentadbiran di Selangor ketika beliau menjadi menteri besar, rakyat amat berpuas hati dengan prestasi PH.

“Itu pembangkang nak bentuk kerjasama, itu adalah tanggungjawab dan cadangan strategi mereka.

“Tapi saya kira Pakatan Harapan (PH) sudah buktikan bahawa pembangunan di Selangor beri manfaat kepada semua rakyatnya.

“Selama empat tahun saya di negeri Selangor, kita telah berusaha sedaya upaya dan rakyat gembira dengan PH,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Semarak Srikandi Keadilan Malaysia di sini hari ini.

Loading...

Turut hadir Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, Naib Presiden PKR Tian Chua dan Ketua Srikandi Keadilan Nurainie Haziqah Shafii

Sementara itu, Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi,  berkata beliau akan turut berkempen di Semenyih demi memastikan kemenangan kekal berpihak kepada PH.

Katanya walaupun beliau baru sahaja menjalani pembedahan, itu bukan halangan untuk turun berkempen.

“Saya akan berkampung di Semenyih. Semenyih adalah sebahagian daripada Selangor dan Selangor tetap di hati saya.

“Saya sudah sihat, badan saya bertambah ringan, jadi mudah saya bergerak,” katanya.

Dalam pada itu beliau turut menegaskan walaupun terdapat beberapa isu negatif yang dimainkan sesetengah pihak berkaitan kerajaan PH, itu tidak menjadi halangan bagi mengekalkan penguasaan di DUN itu.

“Sekarang masanya untuk kita kembali dan bertemu dengan pengundi agar mereka setia dengan kita dan memahami masalah kita.

“Di peringkat kerajaan persekutuan, ada isu-isu negatif yang perlu ditangani namun insya-Allah semuanya akan kembali ke landasan dan kami akan lakukan yang terbaik untuk membantu rakyat,” katanya.

Program Semarak Srikandi Keadilan adalah sebuah program turun padang yang bertujuan menyemarakkan usaha kebajikan dan kepedulian dalam menyantuni rakyat secara keseluruhannya.

Seramai 100 Srikandi Keadilan dari seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak menghadiri majlis itu.