Marzuki kemuka bukti miliki Ijazah CIU

Marzuki kemuka bukti miliki Ijazah CIU

Timbalan Menteri Luar Datuk Marzuki Yahya hari ini mengemukakan  bukti bahawa beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Pengurusan Logistik) daripada Cambridge International University (CIU), Amerika Syarikat.

Menerusi kenyataan di laman Facebooknya, beliau turut memaparkan salinan transkrip rekod akademik dan sijil ijazah daripada CIU sekali gus membuktikan beliau adalah siswazah CIU dan bukannya University of Cambridge, United Kingdom.

Menurut Marzuki, beliau seikhlasnya tidak pernah berniat untuk menggunakan kelayakan akademiknya  bagi mengelirukan sesiapa.

“Ini kerana niat asal pengajian saya 17 tahun dahulu adalah untuk menimba ilmu dalam bidang perniagaan yang saya ceburi. Ketika itu, tidak pernah terlintas di hati saya bahawa suatu hari nanti saya akan berada pada kedudukan hari ini sebagai seorang anggota pentadbiran kerajaan,” katanya.

Beliau juga menyerahkan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad dan kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) untuk menentukan kedudukannya dalam kerajaan dan parti.

Loading...

 

“Ada pihak yang mengatakan bahawa saya tidak bercakap benar kerana di Wikipedia tertulis saya mendapat pendidikan dari University of Cambridge sedangkan universiti itu tidak menawarkan kursus Bachelor of Business Administration in Logistics (Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dalam Logistik)  dan tidak menawarkan program pengajian secara jarak jauh,” katanya.

 

Beliau turut menegaskan tidak pernah memasukkan apa-apa maklumat berkaitan pendidikannya di Wikipedia dan sama sekali tidak pernah mengarahkan sesiapa untuk berbuat demikian.

“Bahkan, ketika ditanya oleh media sebelum ini, saya telah menyatakan dengan jelas bahawa saya mendapat kelulusan dari Cambridge International University (CIU) di Amerika Syarikat dan bukannya University of Cambridge,” katanya.

Sebelum ini, aktivis politik Muhsin Abdul Latheef membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook Zulfahan Pagon yang mendakwa program pengajian jarak jauh (PJJ) bagi kursus pentadbiran perniagaan yang diikuti oleh Marzuki itu tidak wujud di Universiti Cambridge.

Pemilik akaun Facebook Zulfahan Pagon itu memuat naik status berkenaan pada 3 Feb lepas.

Marzuki berkata ketika mengikuti kursus itu dari tahun 2002 hingga 2005, beliau berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat perkapalan dan logistik milik sendiri di Pulau Pinang.

“Ketika itu, masyarakat Malaysia dan dunia masih belum membincangkan tentang akreditasi universiti secara meluas. Bahkan, pada ketika itu masih belum ada sistem ranking universiti yang terkenal dan tersusun seperti pada hari ini. Pada masa itu juga masih belum ada senarai universiti yang dikatakan sebagai “universiti palsu”.

“Oleh itu, apabila mengetahui mengenai kursus yang ditawarkan oleh CIU yang berkaitan dengan bidang perniagaan yang saya ceburi, saya mendaftarkan diri tanpa memberikan penekanan kepada aspek akreditasi kursus yang ditawarkan,” katanya.