Tabung Harapan Malaysia kumpul lebih RM202 juta

Tabung Harapan Malaysia kumpul lebih RM202 juta

Tabung Harapan Malaysia (THM) yang ditutup pada 14 Jan lalu selepas dilanjutkan tempoh pemberian sumbangan selama dua minggu, berjaya mengumpulkan sebanyak RM202,716,775.10, demikian umum Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini.

Lim berkata keputusan melanjutkan tempoh pemberian sumbangan itu dibuat oleh jemaah menteri pada 2 Jan lalu susulan maklum balas positif dan keprihatinan rakyat Malaysia.

“Sumbangan yang dibuat selepas tarikh tersebut tidak akan dikreditkan ke dalam akaun dan dipulangkan semula kepada penyumbang,” katanya dalam kenyataan.

Lim berkata Kementerian Kewangan dalam tindakan untuk membuat pelarasan penutupan akaun tersebut sebelum pengauditan dijalankan oleh Jabatan Audit Negara.

“Jumlah sumbangan ini akan digunakan untuk pembayaran hutang kerajaan persekutuan,” katanya.

Loading...

Bagi memastikan pengurusan Tabung Harapan dibuat secara teratur dan berintegriti, Lim berkata satu Jawatankuasa Akaun yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Ahmad Badri Mohd Zahir akan memutuskan penggunaan wang tabung itu mengikut tatacara yang termaktub dalam Arahan Amanah Akaun THM.

“Kerajaan merakamkan setinggi-tinggi ucapan penghargaan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang telah memberikan sumbangan  kepada THM,” katanya, serta menambah ia mencerminkan kesetiaan dan kasih sayang rakyat Malaysia terhadap tanah air.

“Ia juga memberikan semangat kepada kerajaan untuk berusaha bersungguh-sungguh bagi menyelesaikan masalah hutang yang diwarisi kerajaan,” kata Lim.

THM ditubuhkan oleh kerajaan pada 30 Mei tahun lepas untuk menerima derma dan sumbangan bagi membantu kerajaan menangani isu hutang negara.