Kronologi kes Najib Razak

Kronologi kes Najib Razak

Setakat hari ini, bekas  Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah dihadapkan ke mahkamah sebanyak enam kali dengan 42 pertuduhan jenayah.

Berikut ialah kronologi kes yang dihadapi Najib yang juga Anggota Parlimen Pekan.

  • 4 Julai 2018 – Najib didakwa buat kali pertama di Mahkamah Sesyen di sini dengan tiga pertuduhan pecah amanah serta satu pertuduhan menyalahgunakan jawatan berhubung dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
  • 8 Ogos 2018 – Najib dituduh dengan tiga dakwaan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama daripada dana sama milik SRC International. Beliau mengaku tidak bersalah.
  • 20 Sept 2018 – Najib sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan didakwa dengan empat pertuduhan rasuah berjumlah RM2.282 bilion melibatkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram.
  • 25 Okt  2018 – Najib dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah meminta dibicarakan atas enam pertuduhan pecah amanah melibatkan dana berjumlah RM6,636,065,000, milik kerajaan Malaysia.
  • 12 Dis 2018 – Najib mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan jawatannya dengan mengarahkan Laporan Audit Akhir mengenai 1MDB dipinda sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi mengelakkan sebarang tindakan diambil ke atasnya manakala bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan ke atas laporan itu bagi melindungi Najib daripada dikenakan tindakan disiplin, sivil atau jenayah.
  • 8 Feb 2019 – Najib, 66, didakwa di Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan tambahan melibatkan pengubahan wang haram berjumlah RM47 juta pada  2014 dan mahkamah menetapkan 8 Mac untuk sebutan kes.

Bagi tujuh pertuduhan jenayah melibatkan dana  SRC International, Mahkamah Tinggi telah menetapkan 12 Feb ini untuk perbicaraan.

Bagaimanapun, peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah akan memfailkan rayuan penangguhan perbicaraan di Mahkamah Rayuan pada Isnin ini.

Ini menyusuli keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang menolak permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan perbicaraan sementara menunggu prosiding beberapa rayuan yang dibuat oleh Najib.

Loading...

Najib membuat rayuan berhubung perintah larangan bagi menghalang media membincangkan merit kes jenayah beliau; penzahiran dokumen dan pernyataan; serta mengenai pelantikan peguam Datuk Sulaiman Abdullah sebagai  ketua pasukan pendakwaan yang kesemuanya ditolak oleh Mohd Nazlan.

Pada 7 Feb 2019, Najib memfailkan satu lagi rayuan di Mahkamah Rayuan untuk membatalkan keputusan Mohd Nazlan yang membenarkan pihak pendakwa raya menarik balik sijil bagi memindahkan tujuh pertuduhan terhadapnya berhubung dana SRC International dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Sulaiman dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan oleh Pejabat Peguam Negara bagi mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes Najib melibatkan SRC International. Peguam jenayah terkemuka Datuk V. Sithambaram juga dilantik membantu pasukan pendakwaan.

Bagi 25 pertuduhan melibatkan dana 1MDB berjumlah RM2.282 bilion, Hakim Mahkamah Tinggi  Collin Lawrence Sequerah menetapkan 26 Feb ini untuk pengurusan kes lanjut.

Perbicaraan ditetapkan selama 15 hari bermula 15 April hingga 3 Mei 2019.

Bekas hakim Mahkamah Persekutuan yang juga peguam terkemuka Datuk Seri Gopal Sri Ram dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan untuk mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes 1MDB.

Bagi kes melibatkan Najib dan Mohd Irwan Serigar, Hakim Mahkamah Tinggi  Mohd Nazlan menetapkan perbicaraan selama 28 hari  bermula 8 Julai hingga 22 Ogos 2019, kecuali pada hari Jumaat.

Pada 4 Jan, Mahkamah Sesyen membenarkan permohonan pihak pendakwaan agar kes Najib dan Arul Kanda dibicarakan bersama serta  menetapkan 1 Mac untuk sebutan kes.