Ayuh ahli PAS lakukan perubahan bersama AMANAH

Ayuh ahli PAS lakukan perubahan bersama AMANAH

Sejak beberapa hari lalu saya dan juga pemimpin Parti Amanah Negara (AMANAH) yang lain banyak menerima mesej dari rakan-rakan PAS yang meluahkan kekecewaan terhadap tindakan PAS yang membuat keputusan mengejut menarik balik saman terhadap Sarawak Report.

Bagi mereka, keputusan bersifat ‘pusingan u’ itu tidak boleh diterima dalam keadaan seluruh ahli telah diyakinkan dengan penafian demi penafian oleh pemimpin tertinggi parti itu bahawa mereka tidak pernah menerima wang seperti yang didakwa.

Bagi AMANAH, keputusan PAS ini suatu detik penting kepada kepincangan berterusan yang berlaku dalam parti itu sejak 10 tahun lalu. Ia juga sekaligus mengesahkan wujud jalinan ‘hubungan gelap’ parti itu yang turut melibatkan unsur-unsur penerimaan wang.

Dengan perkembangan terbaru ini, saya mengalu-alukan ahli dan pimpinan PAS untuk menyertai AMANAH. Sudah tiba masanya untuk kita sama-sama kembali berganding bahu di dalam satu wadah untuk membangunkan Malaysia.

Perubahan yang dihasratkan berpuluh puluh tahun di dalam PAS tertangguh sekian lama diakibatkan tindakan beberapa kerat pimpinan yang melakukan hubungan gelap dengan parti lawan.

Loading...

PAS adalah sebuah parti yang hidup dengan budaya syura termasuk ketika memutuskan untuk menjalinkan hubungan dengan Parti Melayu Semangat 46, DAP dan PKR. Namun sangat aneh, dalam hal menjalin hubungan dengan Umno, ianya hanya ditentukan oleh beberapa kerat pemimpin sahaja.

AMANAH juga menyeru kepada kesemua ahli dan jentera di pelbagai peringkat untuk membuat persediaan bagi mengalu-alukan kehadiran ahli-ahli baru. AMANAH sangat terbuka untuk menerima ahli dari mana-mana parti termasuk PAS. Walaupun pernah berselisih faham sebelum ini, tiada dendam daripada ahli-ahli AMANAH kepada ahli-ahli PAS yang ingin berhijrah.

Mengambil semangat Malaysia Baharu, kita semua perlu berganding bahu bersama kerajaan Pakatan Harapan untuk melakukan perubahan demi kebaikan rakyat dan negara dan bukan bersama Umno yang telah terbukti merosakkan negara sejak sekian lama.

HJ. MOHAMAD BIN SABU
Presiden
Parti Amanah Negara