Lim Guan Eng nafi keluar arahan berkaitan umrah, laporan polis telah dibuat

Lim Guan Eng nafi keluar arahan berkaitan umrah, laporan polis telah dibuat

Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) ingin menegaskan bahawa Menteri Kewangan YB Lim Guan Eng dan MOF tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan atau arahan yang menghendaki orang beragama Islam melakukan Umrah hanya melalui Tabung Haji dan bukannya melalui agensi pelancongan swasta/bebas yang telah dihalang daripada menawarkan pakej-pakej Umrah.

Tuduhan yang telah dilemparkan oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab ini langsung tidak berasas, dan MOF tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan berkenaan hal ini.

Menurut artikel “Guan Eng Akan Bunuh Perniagaan Melayu” yang diterbitkan di laman Malaysia Today (4 Februari, 2019), tujuan arahan palsu ini adalah untuk memastikan Tabung Haji memonopoli perkhidmatan pengurusan dan perjalanan Umrah, lantas menghilangkan peluang untuk agensi pelancongan swasta/bebas milik Bumiputera untuk bersaing di dalam pasaran ini.

Artikel ini turut dipaparkan di laman Facebook Raja Petra Kamarudin pada 4 Februari 2019. Laporan berita palsu ini disebarkan semata-mata untuk membangkitkan kemarahan orang ramai dan menghasut kebencian terhadap Menteri Kewangan bukan Islam, kerana kononnya melakukan campur tangan dalam hal ehwal urusan Islam.

MOF telah membuat laporan polis untuk melaporkan penyebaran maklumat palsu dan juga akan membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM). Ingin ditegaskan sekali lagi di sini bahawa tidak sekali-kali pernah Menteri Kewangan, mahupun MOF mengeluarkan arahan seperti yang dinyatakan di dalam artikel Malaysia Today. Tuduhan-tuduhan palsu ini berniat jahat dan merupakan fitnah dan pembohongan.

Loading...

Sayangi Malaysiaku!

Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
6 Februari 2019