Isu diskaun saman: Menteri Pengangkutan bincang dengan PDRM

Isu diskaun saman: Menteri Pengangkutan bincang dengan PDRM

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook akan mengadakan pertemuan bersama Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bagi mencari titik penyelesaian berhubung isu diskaun saman trafik.

Loke berkata perbincangan itu akan diadakan selepas sambutan Tahun Baharu Cina.

“Tak mengapalah.  Dia (PDRM) tidak kata tak setuju. Lepas Tahun Baharu Cina ini kita bincang,” katanya pada sidang media selepas mengedarkan pek cenderahati kepada 1,000 penumpang tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sempena Tahun Baharu Cina, hari ini.

Loke mengulas mengenai kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Azisman Alias yang dilaporkan berkata PDRM tidak dapat mengumpul hasil saman sekiranya kerajaan menamatkan diskaun saman berikutan tidak ramai orang yang berminat membayarnya.

Selasa lepas, Loke mencadangkan tiada sebarang tawaran diskaun akan diberikan ke atas mana-mana notis kompaun yang dikeluarkan JPJ bagi kesalahan lalu lintas.

Loading...

Loke juga bercadang untuk berbincang dengan Kementerian Dalam Negeri  (KDN) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya saman trafik dan saman dikeluarkan PBT tidak menawarkan sebarang diskaun.

Dalam perkembangan lain, Loke berkata, 116,065 atau 89 peratus daripada 129,822 tiket perkhidmatan tren elektrik (ETS) telah dijual bagi perjalanan bermula hari ini hingga 10 Feb dari Lembah Klang ke utara dan pantai timur.

“Bagi memenuhi permintaan ramai, empat perkhidmatan ETS tambahan bagi sektor KL Sentral-Ipoh-KL Sentral dan KL Sentral-Butterworth-KL Sentral akan mula beroperasi pada 1 hingga 4 Feb ini.

“Sebanyak 9,984 tiket ETS tambahan turut disediakan dan 7,158 daripadanya sudah terjual,” katanya.

Loke berkata bagi perkhidmatan KTM Intercity, 11,303 atau 71 peratus daripada 16,000 tiket yang ditawarkan untuk perjalanan bermula hari ini hingga 10 Feb juga dijual.

“Manakala bagi Shuttle Tebrau iaitu perjalanan dari Johor Bharu ke Singapura, 71,869 daripada 109,120 tiket yang ditawarkan telah dijual juga bagi tempoh perjalanan yang sama,” katanya.