Mahathir Tidak terkejut  Kemenangan BN di Cameron Highlands

Mahathir Tidak terkejut Kemenangan BN di Cameron Highlands

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands Sabtu lalu bukan sesuatu yang mengejutkan memandangkan kawasan tersebut merupakan kubu kuat parti itu sejak sekian lama.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata kawasan luar bandar seperti Cameron Highlands kebiasaannya menjadi kubu kuat BN selain parti itu dilihat turut memainkan isu perkauman semasa PRK berkenaan.

“Ini sesuatu yang malang namun ini adalah keputusan yang dibuat rakyat dan kita terima. Kita mengadakan pilihan raya yang baik, tiada “hanky panky” (penipuan).

“Keputusan adalah berdasarkan kepada rakyat,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri taklimat tertutup Program Eksekutif Pengurusan Tertinggi Badan Berkanun Persekutuan Bersama Perdana Menteri di sini hari ini.

Sabtu lalu, BN mengekalkan kemenangan di PRK Parlimen Cameron Highlands melalui calonnya, Ramli Mohd Noor yang meraih 12,038 undi.

Loading...

Beliau menewaskan calon PH, M Manogaran (8,800 undi) dan dua calon Bebas, Sallehudin Ab Talib (314 undi) dan Wong Seng Yee (276 undi).

Mengenai pertemuan tertutup Program Eksekutif Pengurusan Tertinggi Badan Berkanun Persekutuan, Perdana Menteri berkata beliau telah menjelaskan kepada badan berkanun bahawa mereka adalah ‘kerajaan kecil’ dan mesti bertanggungjawab menguruskan organisasi seperti kerajaan.

Program berkenaan dengan tema “Badan Berkanun Persekutuan (BBP) Wibawa Pemacu Malaysia Baharu” yang julung kali diadakan dihadiri 260 peserta terdiri daripada ketua pengarah eksekutif, pengurus besar, ketua pengarah dan pengurusan kanan dari 132 BBP seluruh negara.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan bersempena program itu berkata antara penekanan yang dilaksana kerajaan hari ini adalah agar BBP menyemak semula ‘business model’ masing-masing agar sejajar dengan fungsi dan mandat yang ditetapkan.

“BBP juga dikehendaki menilai semula anak syarikat masing-masing agar tidak lari dari mandat BBP itu sendiri,” katanya.

Kementerian Kewangan berkata pihaknya telah diminta untuk menyediakan garis panduan baharu mengenai tadbir urus Lembaga Pengarah BBP yang meliputi peranan yang perlu dimainkan pengerusi, ahli lembaga dan pengurusan tertinggi BBP.