Ketegasan Malaysia isu Israel tak jejas hubungan luar

Ketegasan Malaysia isu Israel tak jejas hubungan luar

Pendirian tegas Malaysia berhubung isu  yang melibatkan Israel tidak menjejaskan hubungan diplomatik negara ini dengan negara-negara lain, kata Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata negara-negara yang mempunyai hubungan diplomatik dan perdagangan dengan Malaysia ketika ini, memahami prinsip kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam isu tersebut.

“Dasar luar kita ialah kita ingin berbaik dengan semua negara dan berdagang dengan semua negara. Tetapi dalam hal tertentu sekiranya ada perbezaan pandangan ia tidak seharusnya sehingga menggugat hubungan diplomasi dan hubungan perdagangan.

“Sebagai contoh akhir-akhir ini ada beberapa buah negara mengumumkan atau telah mengubah pejabat kedutaan mereka ke Jerusalem dan apabila pertemuan saya dengan menteri luar negara-negara berkaitan kita sebutkan bahawa kita tak setuju dengan pendirian mereka, tetapi ini tidak bermakna kita tidak berniaga lagi dengan mereka,” katanya kepada para pemberita selepas melancarkan Journal of Current Southeast Asian Affairs Special Issues di Sunway University dekat sini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai hubungan Malaysia dengan negara luar berikutan ketegasan Malaysia dalam isu berkaitan Israel.

Loading...

Mengenai larangan rakyat Israel bertanding dalam Kejohanan Renang Para Dunia 2019 yang sepatutnya diadakan Kuching, Sarawak, Saifuddin berkata keputusan itu semata-mata atas dasar prinsip sokongan Malaysia kepada perjuangan rakyat Palestin.

“Saya faham bahawa ada penghujahan kenapa sukan diheret dalam kancah politik tetapi dalam isu Palestin ia bukan persoalan politik yang biasa. Ia persoalan yang luar kebiasaan. Kebetulan sahaja ia melibatkan sukan,” katanya.

Semalam Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) membatalkan hak penganjuran Malaysia untuk menjadi tuan rumah Kejohanan Renang Para Dunia 2019 yang dijadualkan berlangsung mulai 29 Julai hingga 4 Ogos ini di Kuching.

Menurut IPC, keputusan berkenaan dibuat pada mesyuarat lembaga jawatankuasa itu di London setelah Kementerian Dalam Negeri Malaysia gagal memberi jaminan yang diperlukan bahawa perenang para Israel boleh mengambil bahagian, bebas daripada diskriminasi dan selamat semasa kejohanan itu.

Mengenai keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands yang menyaksikan calon Barisan Nasional (BN) Ramli Md Nor menang dengan majoriti 3,238, Saifuddin berkata perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH pada 1 Feb ini.

Bagaimanapun secara peribadi Saifuddin mempersoalkan kerjasama UMNO dan PAS yang dilihat tidak menepati perkembangan politik yang positif kepada  negara ketika ini.

“Persoalan lebih besar bukan siapa menang tetapi bentuk kempen dilaksanakan UMNO dan PAS yang berasaskan kaum dan agama itu apabila disatukan sedemikian rupa adakah ia sihat dan dikehendaki rakyat Malaysia,” katanya.