Wan Azizah minta Orang Asli Cameron Highlands lupakan BN

Wan Azizah minta Orang Asli Cameron Highlands lupakan BN

Timbalan Perdana Menteri dan Presiden Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini meminta masyarakat Orang Asli dalam Parlimen Cameron Highlands supaya memilih calon PH pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sabtu ini untuk mengubah nasib mereka.

Beliau berkata selama 60 tahun, undi Orang Asli diberi kepada BN, namun tidak banyak perubahan telah dibawa untuk mengubah nasib dan kehidupan komuniti itu.

Dr Wan Azizah berkata jika Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang dahulunya pemimpin BN boleh menyertai PH, apa salahnya juga Orang Asli menyatakan sokongan terhadap kerajaan baharu.

“Kita mahukan sokongan. Saya datang sini untuk meraih sokongan, berilah sokongan kepada kami dan calon Pakatan Harapan dan sekarang ni Tun Dr Mahathir telah menjadi Perdana Menteri kita, dia dah tukar dari BN maka jangan tunggu (BN) lagi.

“Saya tahu Orang Asli di sini memang ada masalah hak adat bumiputera dan tok-tok batin mempunyai kuasa yang begitu kuat. Jadi kita boleh fikirkan bagi meneruskan dan tingkatkan penglibatan Orang Asli bersama kita dalam arus pembangunan,” katanya.

Loading...

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis yang dihadiri kira-kira 100 penduduk Orang Asli, semasa lawatan ke bilik gerakan PH di Dusun Pak Senam dekat sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Pahang, Fuziah Salleh dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Rashid Hasnon.

Wan Azizah kemudiannya menghadiri tiga lagi program kemasyarakatan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai sebelum ke Tanah Rata, Cameron Highlands lewat petang nanti.

PRK Cameron Highlands menyaksikan pertandingan empat penjuru itu dengan PH diwakili M. Manogaran, BN diwakili Ramli Mohd Noor dan dua calon Bebas lain iaitu Wong Seng Yee dan Sallehudin Ab Talib.