Tiada masalah undi calon bukan Islam – Nik Omar

Tiada masalah undi calon bukan Islam – Nik Omar

Mengundi calon yang mewakili parti yang menentang rasuah merupakan sebahagian daripada tuntutan Islam, kata Nik Omar Nik Abdul Aziz

Tanpa menyebutnya secara jelas, kenyataan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) itu jelas merujuk kepada Pakatan Harapan (PH) yang mendakwa pentadbiran pimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN) sebelum ini terpalit dengan skandal rasuah.

Katanya, tidak menjadi satu kesalahan sekiranya rakyat memilih calon bukan Islam yang menyokong kerajaaan yang membawa perjuangan Islam.

“Kalau rakyat Cameron Highlands beri peluang kepada pihak yang sudah 61 tahun tadbir negara, apa rakyat Malaysia dan orang Melayu dapat?”

“Dalam keadaan sekarang, walaupun pemimpin yang kita nak pilih bukan orang Islam, kita yakin untuk pilih dia bukan kerana agamanya, tetapi dia bersama dalam satu pasukan yang kita yakin juga membawa Islam,” katanya dalam satu forum bertajuk Memilih Pemimpin Mencari Rahmah di dataran Felda Sungai Koyan 1 di sini, malam tadi.

Loading...

Kenyataan anak bekas menteri besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu menyusul ceramah pemimpin BN dan PAS sebelum itu yang meminta pengundi Cameron Highlands memilih calon beragama Islam untuk mewakili kawasan Parlimen itu.

Nik Omar berkata, pemimpin parti yang menggesa rakyat menolak calon bukan Islam sebelum ini adalah antara pihak yang berada di saf hadapan menggesa rakyat Malaysia memilih calon bukan Islam

“Jadi macam mana dalam suatu keadaan, dia sendiri pilih (minta sokong calon bukan Islam), tapi pada masa lain dia kata tak boleh pilih?” katanya, merujuk kepada pendirian PAS ketika ini setelah tidak bersama parti gabungan dalam PH.

“Kita sokong bukan kerana agamanya, tetapi kerana dia bersama kita untuk bawa kebaikan kepada agama, rakyat dan negara kita,” kata Nik Omar, yang membantu kempen calon PH, M Manogaran dalam pilihan raya kecil Parlimen Cameron Highlands 26 Jan depan.

PAS sebelum ini menyatakan sokongan penuh kepada calon BN, Ramli Mohd Nor dalam usaha menguatkan suara pembangkang di Parlimen.

Program yang dihadiri lebih 100 itu orang itu turut menampilkan anak bekas presiden PAS, Datuk Fadzil Mohd Noor, Fauwaz Fadzil.

PRK Cameron Highlands diadakan berikutan keputusan Mahkamah Pilihan Raya, November tahun lepas, membatalkan kemenangan calon BN, Datuk C Sivarraajh, dalam pilihan raya umum 9 Mei 2018 kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, selepas didapati memberi rasuah ketika berkempen.

PRK yang dijadualkan 26 Jan depan itu menyaksikan pertandingan 4 penjuru antara calon PH, M Manogaran; calon BN, Ramli Mohd Nor dan 2 calon bebas, Sallehuddin Ab Talib dan Wong Seng Wee.

Sebanyak 32,009 pengundi berdaftar, termasuk 247 pemilih awal dan 12 pengundi tidak hadir layak mengundi. Terdapat juga 385 pengundi kurang upaya.

Daripada jumlah itu, 22% pengundi merupakan Orang Asli.

Parlimen Cameron Highlands mempunyai 2 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawahnya, iaitu Tanah Rata yang merupakan kubu DAP sejak 2013 dan DUN Jelai yang merupakan kubu BN dan diwakili oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

 

Sumber : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2019/01/21/pilih-calon-bukan-islam-bersama-kerajaan-lawan-rasuah-dituntut-agama-kata-nik-omar/