Melaka cadang wujud tabung amanah nelayan

Melaka cadang wujud tabung amanah nelayan

Kerajaan negeri Melaka bercadang mewujudkan Tabung Amanah Nelayan yang akan berfungsi sebagai tunai runcit untuk digunakan bagi membantu nelayan dalam kecemasan atau dilanda bencana.

Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani Melaka Norhizam Hassan Baktee berkata peruntukan bagi tabung berkenaan akan disalurkan hasil pampasan daripada aktiviti penambakan laut di negeri itu.

Beliau berkata cadangan awal, sebanyak RM200,000 akan disalurkan menerusi tabung tersebut dan akan diletakkan di bawah Persatuan Nelayan negeri Melaka atau Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) negeri.

“Cadangan berkenaan akan dibawa ke dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka dalam masa terdekat untuk dimuktamadkan kerana ia merupakan salah satu inisiatif yang dilihat dapat membantu kebajikan nelayan dalam kecemasan atau dilanda bencana dengan segera.

“Ia bagi memudahkan penyaluran bantuan kepada nelayan terlibat kerana sekiranya ingin mendapatkan bantuan di peringkat persekutuan, ia mengambil masa,” katanya kepada pemberita selepas lawatan ke jeti nelayan di Kompleks LKIM di sini, hari ini.

Loading...

Dalam lawatan itu, beliau meninjau lima bot dan sebuah tongkang yang rosak akibat hujan lebat dan ribut di jeti berkenaan semalam.

Turut hadir Pengarah LKIM Melaka Rosli Mustapa dan Pengurus Besar Persatuan Nelayan Kawasan Melaka Barat Sukri Abadi.

Mengulas lanjut, Norhizam berkata tabung tersebut juga diwujudkan kerana peruntukan bencana untuk golongan nelayan di bawah LKIM adalah terhad.

Sementara itu, beliau berkata nelayan di negeri itu disaran berdaftar di bawah LKIM bagi memastikan kebajikan mereka terjamin.

Katanya sehingga kini, kira-kira 1,300 nelayan berdaftar di negeri itu setelah proses pemutihan dilakukan bagi mengenal pasti nelayan aktif dan tidak aktif.

“Kami juga menerima kira-kira 300 permohonan daripada nelayan tidak berlesen untuk mendapatkan lesen menerusi temu duga yang telah dilakukan baru-baru ini dan ia kini dalam proses penilaian,” katanya.

Terdahulu beliau berkata nelayan yang mengalami kerosakan dalam kejadian hujan dan ribut semalam menerima bantuan awal RM200 seorang.