Kerajaan jamin keselamatan pengamal media

Kerajaan jamin keselamatan pengamal media

Kerajaan akan menjamin keselamatan pengamal media di negara ini ketika menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Eddin Shazlee Shith.

Katanya perkara ini penting bagi memastikan kebebasan media dapat dicapai sekaligus boleh menyumbang kepada pembangunan negara tercapai.

“Ada kalanya keselamatan kita terancam tapi saya sebagai wakil kerajaan beri jaminan keselamatan rakan media. Kita akan bantu mana-mana yang patut.

“Kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan amalkan prinsip keterbukaan dan keseimbangan. Paling penting kita titik beratkan nilai berita yang disampaikan dan saya tak lihat kehadiran rakan-rakan media sebagai satu ancaman atau keadaan yang perlu kita bimbangi,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) kali ke-8 di Rumah Wartawan, Taman Sari di sini malam ini.

Hadir sama Presiden Kemudi Azran Fitri Rahim dan pemangku Pengarah Jabatan Penerangan Kelantan Azhar Ismail.

Loading...

Sementara itu, pada sidang akhbarnya beliau berharap agar cadangan mewujudkan Majlis Media Kebangsaan akan tercapai bukan sahaja untuk menjaga kebajikan pengamal media malah demi masa hadapan yang lebih terjamin.

“Malah badan itu juga boleh membincangkan perkara-perkara berkaitan keselamatan pengamal media. Saya percaya ia perlu diteliti dan diperhalusi.

“Saya tak mahu rakan media berasa terancam ketika menjalankan tugas sekali gus menyebabkan mereka rasa terkekang daripada menjalankan tanggungjawab mereka,” katanya.

Mengulas mengenai laporan berita yang tidak bertanggungjawab ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highland, Eddin Shazlee berkata kerajaan tidak melihat isu yang dibangkitkan boleh menjejaskan keselamatan negara.

“Tapi kita akan pantau supaya PRK Cameron Highland berjalan lancar dan selamat. Setakat ini belum ada perkara yang serius. Ada juga dakwaan yang masih kita teliti,” katanya.