Exco Perak cadang kerajaan persekutuan tubuh suruhanjaya sungai

Exco Perak cadang kerajaan persekutuan tubuh suruhanjaya sungai

Kerajaan negeri hari ini mencadangkan supaya kerajaan persekutuan  menubuhkan sebuah suruhanjaya berkaitan sungai bagi tujuan menjaga sungai-sungai di seluruh negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi Sains dan Alam Sekitar negeri, Dr Abdul Aziz Bari berkata cadangan itu akan dibentangkan kepada Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) dan agensi lain berkaitan sekiranya satu mesyuarat diadakan bersama.

“Penubuhan suruhanjaya itu penting sebagai platform untuk bertukar pendapat dengan pakar mengenai sungai di peringkat antarabangsa selain meningkatkan kualiti pengurusan sungai itu sendiri.

“Kita tidak boleh meninggalkan perkara ini kepada Jabatan Pengairan dan Saliran dan Jabatan Alam Sekitar semata-mata kerana kita tidak mahu ada sungai-sungai yang hilang, anak-anak sungai yang hilang dan ini akan merugikan generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Bengkel Pembentangan Laporan Penilaian Alam Sekitar dan Perbincangan Kandungan Pelan Pengurusan Strategik Lembangan Sungai Hulu Kinta anjuran Global Environment Centre (GEC) dan Yayasan Hasanah di sini, hari ini.

Loading...

Abdul Aziz berkata selain itu, dengan tertubuhnya suruhanjaya berkenaan, pertukaran maklumat di peringkat antarabangsa mengenai sungai dapat dijalankan.

“Mengambil contoh di United Kingdom dalam soal pengurusan sumber air, sisa kumbahan dan sungai dijalankan oleh agensi pusat, adalah baik sekiranya sebuah suruhanjaya sungai di peringkat pusat diwujudkan di negara ini.

“Bagaimanapun kita perlu tubuhkan satu bengkel dan banyak konsultasi dilakukan dengan semua pihak supaya perkara ini dapat diperhalusi,” katanya.

Abdul Aziz berkata, setakat ini, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bertindak sebagai pengurusan air negara yang ditubuhkan 10 tahun lalu dan penubuhannya sukar diterima oleh beberapa pihak ketika itu kerana sumber air adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

“Bagaimanapun, dengan adanya SPAN ini, pengurusan alam sekitar lebih demokratik serta pengurusan air dijalankan dengan baik dan apa yang paling penting, dana dapat disalurkan,” katanya.