ADUN Alor Mengkudu teraju pimpinan NAFAS yang baharu

ADUN Alor Mengkudu teraju pimpinan NAFAS yang baharu

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Mengkudu, Kedah  Datuk Ir Phahrolrazi Mohd Zawawi hari ini diumum sebagai Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) yang baharu berkuat kuasa 15 Jan.

Pengumuman itu dibuat Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub dalam satu majlis pelantikan Pengerusi dan Ahli Jemaah Pengarah NAFAS yang baharu di ibu pejabat pertubuhan itu, di sini.

Menurut Salahuddin, sepanjang tempoh penggantungan bermula 1 Jun lepas, pengurusan NAFAS distruktur semula bagi memastikan peranannya sebagai pejabat induk bagi Pertubuhan Peladang dilaksanakan secara lebih efisien.

“Kerajaan bersikap proaktif dan positif terhadap NAFAS agar ia kembali kepada fungsi asal iaitu memajukan kepentingan ekonomi, sosial dan kebajikan anggotanya.

“Diharap kepimpinan baharu ini dapat melahirkan lebih ramai pemimpin berintegriti bagi menjamin peranan pertubuhan kepada golongan sasar akan terlaksana,” katanya dalam sidang media selepas upacara menandatangani Surat Aku Janji serta Ikrar Aku Janji pelantikan hari ini.

Loading...

Pada majlis itu, turut diumumkan pelantikan Ahli Jemaah Pengarah (AJP) pertubuhan yang baharu iaitu Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Perlis Wan Kharizal Wan Khazim, ADUN Apam Putra Mohd Hisyamuddin Ghazali, ahli perniagaan Normah Yusof, Senator Dr Yaakob Sapari dan Ketua Amanah Simpang Renggam Muhamad Said Jonit yang merupakan lima senarai lantikan menteri.

Lima lagi AJP ialah Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Kelantan Datuk Abdul Aziz Derashid, PPN Selangor Datuk Ahmad Bhari Abd Rahman, PPN Perlis Datuk Tengku Aziz Tengku Jaafar, Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan Merlimau, Melaka dan Anggota Jemaah Pengarah PPN Kedah Ishak Taib.

Dalam pada itu, ketika ditanya pemberita mengenai para peneraju baharu NAFAS yang kebanyakannya berlatarbelakangkan politik, Salahuddin berkata beliau sangat teliti dan memilih mereka yang benar-benar layak, kompeten serta berpengalaman.

“Walaupun lantikan ini ada di kalangannya anggota politik tetapi secara dasar saya mengambil masa yang lama untuk putuskan pelantikan ini kerana mahu memperincikan ‘track record’ mereka serta memastikan kriteria yang diperlukan dipenuhi.

“Selagi amanah diberikan kepada saya, maka semua agensi di bawah MOA termasuk NAFAS, perlu mendukung integriti, saya akan pastikan sekiranya mereka lakukan penyelewengan serta melanggar aku janji yang telah dibuat mereka boleh dibuang dan kerusi mereka dikosongkan,” jelasnya.

Operasi NAFAS digantung susulan masalah serius tadbir urus agensi berkenaan terutama daripada aspek kompetensi, kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam barisan kepemimpinannya.

Perintah penggantungan itu dikeluarkan Pendaftar Pertubuhan Peladang (PP) mengikut Seksyen 20 (1) Akta Pertubuhan Peladang 1973 susulan audit pengurusan pada 26 Mac lepas