Kerajaan PH Melaka Berjaya laksanakan 52% Tawaran sehingga 31 DIS 2018

Kerajaan PH Melaka Berjaya laksanakan 52% Tawaran sehingga 31 DIS 2018

Tohmahan dan tuduhan mengatakan Pakatan Harapan (PH) hanya menabur janji-janji kosong pada PRU 14 yang lalu adalah meleset khususnya dalam konteks pentadbiran kerajaan PH negeri Melaka.

Pihak yang membuat tuduhan tersebut samada berniat jahat atau langsung tidak membuat kajian terperinci kepada tawaran yang PH Melaka bentangkan kepada rakyat semasa kempen pilihanraya umum yang lalu.

Rakyat sepatutnya tidak termakan dengan tohmahan dan tuduhan pembangkang dan pihak-pihak yang sengaja ingin mengelirukan rakyat dan cuba memburuk-burukkan imej kerajaan negeri.

Rakyat dinasihatkan supaya merujuk kepada sumber yang benar dan sahih supaya mereka tidak dikeliru dan ditipu oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Kepada pihak yang membuat tuduhan dan tohmahan, saya mengharapkan mereka insaf dan berpolitiklah secara matang dan professional supaya rakyat tidak memandang rendah kepada mereka.

Loading...

Kita mahukan pembangkang yang matang dan mampu mengakui fakta serta kebenaran bukannya pembangkang
yang hanya menggunakan emosi untuk kepentingan survival politik mereka semata-mata.

Kerajaan PH Melaka berjaya membuktikan keupayaannya menunaikan tawaran PRU14 dengan berjaya melaksanakan 44 dari 84 tawaran sehingga 31 Disember yang lalu iaitu kira-kira 52.38 %.

Malah dalam masa 100 hari pemerintahan kerajaan PH Melaka pun Ketua Menteri Melaka, Tuan Haji Adly Zahari telahpun mengumumkan 31 inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri.

Saya yakin kerajaan PH Melaka akan mampu menyelesaikan 100 % tawaran ini menjelang 5 tahun pemerintahannya nanti.

Jika dalam masa 7 bulan pun kerajaan PH Melaka dapat melaksanakan 52 % tawaran, saya yakin hasrat untuk memastikan 100 % tawaran tersebut Insya Allah akan tercapai.

Memang ada di antara tawaran tersebut memerlukan masa kerana ianya melibatkan bajet dan penggubalan enakmen serta undang-undang baru.

Malah ada juga tawaran yang berhubung kait dengan kerajaan pusat dan manifesto PH pusat.

Di bawah ini disenaraikan 44 (52.38 %) tawaran yang telah dilaksanakan oleh kerajaan PH Melaka setakat 31 Disember 2018.

A) POLISI KERAJAAN

1) Membasmi rasuah dengan menubuhkan badan pemantau integriti negeri (MELCAT) yang berfungsi mengawal perjalanan pentadbiran kerajaan negeri.

2) Memastikan PAC memainkan peranan sebagai badan ‘check & balance’ yang bebas dan telus dengan melantik anggotanya dari kalangan Adun Pembangkang.

3) Semua projek dan proses perolehan dibuat secara tender terbuka dengan memberikan kebebasan kepada jabatan-jabatan berkaitan membuat penilaian.

4) Menghadkan tempoh perkhidmatan Ketua Menteri selama 2 penggal sahaja.

5) Menstruktur semula syarikat-syarikat GLC yang lemah supaya menjadi syarikat yang berdaya maju dengan menukar pengurusan atasan dan memantau ‘performance’ syarikat.

6) Berusaha membebaskan kerajaan dari belenggu hutang dengan membuat sebarang hutang baru serta mengambil langkah berbelanja secara berhemah dan sistematik.

7) Memanjangkan tempoh persidangan DUN kepada 4-7 hari bagi setiap persidangan.

8) Mengangkat dan mengiktiraf peranan dan autoriti Ketua Pembangkang dan Adun pembangkang di mana semua mereka diberi peluang berucap pada setiap Sidang DUN.

9) Menubuhkan Institut Melaka yang diberi nama Institut Tun Perak sebagai badan pemikir bagi memajukan negeri dan rakyat Melaka.

10) Membebaskan institusi-institusi kerajaan dari pengaruh politik dalam membuat sebarang keputusan terutama yang berkaitan hal-hal teknikal dan dan perundingan.

11) Memastikan pembangunan seimbang di seluruh negeri dengan tidak menumpukan kepada sesuatu kawasan tertentu sahaja.

B) EKONOMI

12) Meningkatkan pendapatan negeri dengan mengurangkan ketirisan pendapatan kerajaan serta mengamalkan perbelanjaan berhemah.

13) Menggalakkan pelaburan-pelaburan baru dengan insentif-insentif khas bagi meningkatkan pendapatan kerajaan negeri

C) PIHAK BERKUASA TEMPATAN

14) Mengkaji dasar-dasar dan peraturan yang menyusahkan rakyat serta menambahbaikkan sistem perkhidmatan PBT

15) Menghilangkan birokrasi politik dalam kelulusan projek dan pemilihan perjawatan

16) Parkir percuma Sabtu dan Ahad di kawasan-kawasan tumpuan.

17) Memberikan diskaun kepada saman tertunggak untuk kesalahan-kesalahan di bawah PBT

D) PENTADBIRAN TANAH

18) Memperketatkan syarat untuk pemilikan hartanah oleh warga asing.

19) Memperketat dan menambahbaik dasar pembangunan hartanah yang akan dibangunkan oleh syarikat asing.

20) Mengekalkan tanah MCL dan menggantikan semula tanah MCL yang hilang

21) Mengkaji semula dasar status strata kepada penghuni rumah pangsa, kondomonium dan sebagainya.

22) Mengekalkan status tanah kampung baru yang tamat tempoh di mana pemilik tanah boleh memohon melanjutkan tempoh pajakan kepada 99 tahun pada bila-bila masa/

E) PERUMAHAN

23) Membina rumah mampu milik sebanyak 120,000 unit dengan harga dari RM42,000 hingga RM250,000 dalam tempoh 5 tahun.

24) Memperketatkan syarat penjualan rumah kos rendah dan rumah mampu milik kepada hanya golongan yang benar-benar layak.

25) Memperkemaskan kouta pemilikan hartanah mengikut taburan penduduk.

F) PENDIDIKAN

26) Menaikkan insentif pembangunan kepada sekolah-sekolah agama rakyat, sekolah persendirian Cina dan Tamil.

27) Menaja pelajar-pelajar berpotensi tinggi dalam bidang kritikal sehingga berjaya dan kembali berkhidmat kepada negeri Melaka.

28) Menaja pelajar-pelajar yang layak bagi melanjutkan pengajian ke IPT tanpa mengira kursus yang diambil.

29) Mengiktiraf sijil UEC untuk menjawat jawatan di sektor awam kerajaan negeri

30) Bantuan persekolahan tahunan sebelum sekolah dibuka kepada keluarga yang layak.

G) BELIA

31) Menyediakan program pembangunan belia seperti kursus kemahiran keusahawanan dan menyediakan Dana Khas keusahawanan

H) WANITA DAN KEKELUARGAAN

32) Menggalakkan penubuhan nurseri kanak-kanak di tempat-tempat strategik dengan insentif diberikan kepada syarikat yang menubuhkannya.

33) Memberikan bantuan kebajikan untuk ibu tunggal yang layak

I) KESIHATAN

34) Memberikan bantuan/insentif kepada pesakit-pesakit kronik

J) KEBAJIKAN

35) Menstruktur mekanisme bantuan kebajikan bagi memastikan ianya benar-benar diterima oleh golongan yang layak

36) Memastikan bantuan kebajikan diberikan tanpa diskriminasi politik.

37) Mewujudkan skim khas atau bantuan khas/one off kepada pemandu teksi, nelayan, penarik beca dan lain-lain.

K) ZAKAT

38) Memberikan opsyen kepada asnaf samada menerima bantuan dalam bentuk tunai atau barangan

L) SUKAN

39) Menyediakan Insentif dan bantuan kebajikan untuk atlet-atlet yang berjaya di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

M) ALAM SEKITAR

40) Mengekalkan keindahan pantai-pantai, hutan simpan dan sebagainya seperti memberhentikan sementara kegiatan mengorek pasir di kawasan perhutanan.

N) PELANCONGAN

41) Mengekal, membaik pulih dan mewujudkan produk-produk baru pelancongan dengan mempromosikan budaya kesenian warisan komuniti

O) PENGANGKUTAN

42) Menyediakan perkhidmatan bas percuma untuk laluan hotspot seperti dari Melaka Sentral ke hospital dan Pusat Pentadbiran Kerajaan

P) PETANI DAN NELAYAN

43) Menggalak dan mengusahakan tanah terbiar terutama tanah adat dengan projek pertanian dan penternakan

44) Membangunkan semula industri perikanan dengan menyelesaikan isu keselamatan, ekonomi dan kebajikan nelayan ( memberikan bantuan one-off).

Mohd Sofi Abdul Wahab
Pengerusi Jawatankuasa Tawaran PH Melaka bagi PRU14
Naib Pengerusi PH Melaka
Timbalan Pengerusi Parti AMANAH Negara Negeri Melaka.