Jumlah kes-kes rasuah yang dilaporkan di Malaysia meningkat

Jumlah kes-kes rasuah yang dilaporkan di Malaysia meningkat

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata jumlah kes-kes rasuah yang dilaporkan di Malaysia meningkat sejak kebelakangan ini selepas kerajaan baru Pakatan Harapan menampilkan dasar dan usaha keras bagi menangani gejala itu.

Perdana Menteri berkata orang ramai dan pemberi maklumat tidak lagi takut untuk melaporkan kes-kes rasuah memandangkan kerajaan kini lebih terbuka dalam menangani kes-kes sedemikian.

“Apabila kita tanya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mereka kata jumlah kes-kes yang dilaporkan meningkat tiba-tiba, namun kes-kes ini bukan berlaku dalam kerajaan sekarang, tapi semasa kerajaan terdahulu,” katanya semasa menyampaikan syarahan bertajuk “Memerangi Rasuah di Malaysia: Pencapaian, Cabaran dan Perspektif di International Anti-Corruption Academy (IACA) di sini hari ini.

Beliau berkata kini orang ramai merasakan lebih bebas untuk memberikan maklumat mengenai sebarang perlakuan rasuah, dan perlindungan turut diberikan kepada mereka di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

Merujuk kepada rasuah, beliau berkata ia dikategorikan kepada dua peringkat; yakni diberi secara terbuka dan “di bawah meja”.

Loading...

Beliau berkata sekiranya amalan rasuah di sesebuah negara itu dilakukan secara terbuka, ia akan menimbulkan masalah, kerana orang ramai akan menawarkan rasuah secara sukarela bagi mendapatkan perkhidmatan daripada pegawai-pegawai kerajaan, dan ia akan menjadi suatu amalan yang ‘biasa’ dalam kalangan masyarakat.

“Apabila sesebuah negara itu di peringkat rasuah diberikan ‘di bawah meja’, ia bermakna masih ada harapan untuk memerangi rasuah, kerana orang ramai tidak menawarkan rasuah, sebaliknya dipaksa berbuat demikian,” tambahnya.

Dr Mahathir berkata adalah mustahil untuk menghapuskan rasuah sekiranya sesebuah negara itu mengamalkan rasuah secara terbuka.

Katanya kerajaan sedang melakukan segala yang termampu bagi mengurangkan gejala rasuah, sekalipun tidak dapat menghapuskan kesemuanya.

Beliau berkata tiada sesiapa yang boleh terkecuali daripada undang-undang, dan undang-undang semata-mata tidak cukup untuk memerangi rasuah.

Dr Mahathir berkata sesetengah negara merekodkan kes-kes rasuah yang minima, di mana rakyatnya menentang rasuah, dan perkara ini seharusnya dipupuk dari usia muda lagi.

Katanya antara usaha yang diambil kerajaan bagi memerangi rasuah adalah menetapkan bahawa semua menteri kabinet, termasuk berliau sendiri perlu mengisytiharkan aset kepada SPRM.