Maaf sahaja tak cukup, sila bayar US$ 7.5 Billion

Maaf sahaja tak cukup, sila bayar US$ 7.5 Billion

Permohonan maaf oleh Goldman Sachs tidak cukup sebaliknya ia juga perlu membayar pampasan kepada Malaysia ekoran peranan rakan kongsinya dalam skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB), kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau berkata permohonan maaf itu perlu bagi negara dan rakyat Malaysia namun Goldman Sachs juga harus menanggung dan menunjukkan tanggungjawabnya.

“Mohon maaf sahaja tidak cukup, sebaliknya mohon maaf berserta S$7.5 bilion, itu yang penting.

“Hanya apabila anda membayar pampasan, maka ia akan memadai…kami sedang mendapatkan US$7.5 bilion (pampasan),” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan pelantikan pengatur utama bersama Bon Samurai di Kementerian Kewangan di sini, hari ini.

Pada Rabu, Ketua Pegawai Eksekutif Goldman Sachs Group Inc, David Solomon memohon maaf kepada rakyat Malaysia atas peranan bekas pegawai bank di firma itu dalam skandal 1MDB.

Loading...

Goldman membantu menguruskan bon US$6.5 bilion bagi 1MDB dan Malaysia telah menfailkan pertuduhan jenayah terhadap bank tersebut serta dua bekas kakitangannya atas tuduhan mencuri.

Lim berkata Goldman perlu bertanggungjawab kerana perkara itu turut melibatkan pelanggaran tanggungjawab kewangan memandangkan industri perbankan mempunyai obligasi membayar kerugian yang ditanggung Malaysia.

“Goldman harus memahami kesan negatif yang ditanggung rakyat Malaysia disebabkan skandal 1MDB,” katanya.

Ketika ditanya sama ada kerajaan akan menggugurkan pertuduhan berkenaan sekiranya Goldman membayar ganti rugi itu, Lim berkata: “sekiranya mereka membayar kita US$7.5 bilion, barulah kita akan membincangkannya.”