Teknologi blockchain wujudkan lebih banyak peluang pekerjaan

Teknologi blockchain wujudkan lebih banyak peluang pekerjaan

Kemajuan teknologi blockchain akan terus mewujudkan peluang pekerjaan baharu kepada tenaga kerja tempatan, kata firma pengambilan pekerja, Randstad Malaysia.

Menurut firma berkenaan, dengan kemajuan blockchain, lebih ramai orang akan mengambil kesempatan daripada peningkatan aliran teknologi itu untuk mempelajari kemahiran baharu dan membangunkan pengkhususan mereka.

“Kami menjangkakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada pembangun Java untuk menangani peningkatan aktiviti di sekitar pembangunan binaan perkhidmatan mikro, kerahan tugas awan selain mudah alih berskala besar atau platform web,” kata firma berkenaan dalam Laporan Prospek Pasaran Tahunan 2019, yang dikeluarkan hari ini.

Menurut Randstad, profesional yang berpengetahuan dan berpengalaman dalam bahasa pemprograman popular seperti Ruby on Rails, Python dan Golang mendapat permintaan yang baik dalam kalangan syarikat pembangunan aplikasi dan pusat pembangunan.

Dalam soal gaji dan upah, laporan itu menyatakan, graduan di Malaysia biasanya menerima kira-kira RM3,000 sebulan sebagai gaji permulaan.

Loading...

“Walaupun ia dilihat rendah bagi mereka yang baru mula bekerja, profesional teknologi khusus boleh mendapat gaji bulanan sehingga RM25,000. Profesional dalam bidang teknologi di negara ini menyaksikan peningkatan gaji yang ketara.

“Dalam sekitaran ruang pembangunan teknologi maklumat (IT), profesional berpengalaman boleh mendapat gaji bulanan antara RM15,000 dan RM25,000 sebelum cukai,” kata Randstad.

Menurut Randstad, perusahaan kecil dan sederhana berkemungkinan menawarkan gaji yang lebih tinggi berbanding syarikat global kerana mereka biasanya memerlukan seseorang dengan kemahiran yang khusus untuk melaksanakan tugas selama beberapa tahun.

“Adalah biasa bagi syarikat memberikan kenaikan gaji sehingga 30 peratus untuk menarik bakat yang diperlukan.

“Selain sebagai strategi tarikan bakat, pakej upah yang menarik membolehkan pekerja berprestasi tinggi berkhidmat sekurang-kurangnya setahun kerana mereka perlu membina reputasi dan memperdalamkan keupayaan sebelum berfikir untuk bertukar majikan,” tambah firma berkenaan.