Mahkamah tetap tarikh 11 Feb prosiding inkues kematian Adib bermula

Mahkamah tetap tarikh 11 Feb prosiding inkues kematian Adib bermula

Mahkamah Koroner di sini hari ini menetapkan 11 Feb hingga 12 April ini sebagai tarikh prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

Hakim Rofiah Mohamad yang bersidang sebagai Koroner, menetapkan tarikh tersebut ketika pengurusan kes hari ini.

Beliau menetapkan 11 Feb hingga 28 Feb; 1, 4 dan 5 Mac; 19 Mac hingga 29 Mac dan 1 April hingga 12 April sebagai tarikh prosiding inkues itu.

Pegawai pengendali inkues berkenaan, Timbalan Pendakwa Raya Hamdan Hamzah memberitahu mahkamah bahawa seramai 30 saksi termasuk enam doktor dan pakar forensik akan dipanggil memberi keterangan pada prosiding itu.

“Doktor pakar terbabit adalah antara mereka yang merawat Muhammad Adib di Institut Jantung Negara, Pusat Perubatan Subang Jaya dan sebagainya.

Loading...

“Saksi lain yang akan dipanggil memberikan keterangan adalah anggota bomba, polis, pasukan perubatan dan orang awam di tempat kejadian.

“Kami mempunyai 30 saksi, saya cadangkan inkues ini memberikan arahan berhubung pihak mana yang berkepentingan dan boleh mengemukakan soalan dalam prosiding ini,” katanya.

Rofiah kemudian memutuskan saksi profesional dan pegawai penyiasat memberi keterangan dalam bentuk pernyataan saksi selain membenarkan peguam berkepentingan iaitu yang mewakili anggota keluarga Muhammad Adib, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk bertanyakan soalan lanjut selain keterangan terbabit.

Beliau juga membuat keputusan untuk tidak membenarkan lebih daripada seorang peguam menyoal saksi mengenai isu sama.

Berhubung permohonan peguam yang mewakili Majlis Peguam dan peguam yang mewakili Jawatankuasa Petugas Kuil Sri Maha Mariamman Subang Jaya untuk menjadi pihak berkepentingan serta menyoal saksi, Rofiah menetapkan 31 Jan ini untuk memberikan keputusan.

Mahkamah Koroner turut membenarkan permohonan peguam yang mewakili Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Mansoor Saat untuk bertindak sebagai peguam pemerhati atas dasar kes Muhammad Adib melibatkan soal hak asasi manusia.

Terdahulu, peguam Syazlin Mansoor yang mewakili KPKT dan JBPM berkata kedua-kedua pihak merupakan pihak berkepentingan kerana terlibat sama dalam siasatan kes.

Majlis Peguam yang diwakili peguam Cyrus Tiu Foo Woei pula berkata, pihaknya mempunyai kepentingan dalam prosiding inkues itu berdasarkan Seksyen 42 (g) Akta Profesion Undang-Undang 1976 kerana insiden tersebut membabitkan kepentingan awam.

Dalam prosiding hari ini, keluarga Muhammad Adib diwakili peguam Mohd Kamaruzaman Wahab, Ahmad Taufiq Baharum, Ahmad Lutfi Awang, Mohd Zubir Embong dan Mohd Tajuddin Abdul Razak.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Subang Jaya, parah selepas dipercayai diserang dan dipukul perusuh dalam kejadian kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov lepas.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Dis.

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini dilaporkan berkata, Peguam Negara selaku Pendakwa Raya dalam menjalankan kuasanya di bawah Seksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah mengarahkan Majistret membuat siasatan (inkues) di bawah Bab XXXII Kanun yang sama bagi menentukan sebab kematian Muhammad Adib.

Beliau berkata ??????dalam prosiding inkues itu, Majistret mempunyai kuasa yang luas di bawah Seksyen 328 Kanun Tatacara Jenayah yang memberi erti sebab kematian.

Ini, katanya, termasuk mempertimbangkan bagaimana Muhammad Adib menemui ajalnya dan sama ada kematiannya disebabkan, atau dipercepatkan oleh, apa-apa perbuatan atau ketinggalan yang menyalahi undang-undang yang dilakukan orang lain.