Anak Najib tak setuju atlet Israel disekat

Anak Najib tak setuju atlet Israel disekat

Datuk Mohd Nazifuddin Najib berkata pendirian kerajaan tidak membenarkan atlet Israel menyertai memasuki Malaysia menyebabkan negara berkemungkinan hilang peluang menganjurkan Kejohanan Renang Para Dunia dan hubungan dengan badan sukan dunia terjejas.

“Sudah tentu ‘World Para Swimming Championship’ akan diberikan kepada negara lain untuk dianjurkan dan hubungan Malaysia dengan badan-badan sukan dunia seperti IPC, IOC, Persekutuan Renang Antarabangsa (Fina) dan lain-lain akan ada impak negatif,” kata Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nazifuddin Najib ketika dihubungi FMT.

Beliau berkata, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) juga menyuarakan kebimbangan terhadap keputusan Malaysia tidak menganjurkan acara melibatkan Israel.

Katanya, IOC menegaskan pendirian kerajaan terhadap Israel bercanggah dengan semangat Olimpik di mana sukan tidak seharusnya dikaitkan dengan politik.

“Mereka berharap Malaysia dapat mencari jalan penyelesaian menganjurkan acara membabitkan Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa di Sarawak pada bulan Julai nanti,” katanya.

Loading...

Sebelum ini, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, Kabinet pada minggu lalu memutuskan rakyat Israel tidak dibenarkan memasuki Malaysia untuk sebarang acara.

Ia merupakan larangan menyeluruh terhadap semua warga Israel menyertai acara anjuran negara Asia Tenggara, termasuk keputusan tidak membenarkan atlet negara itu bertanding dalam Kejohanan Renang Para Dunia, Julai depan.

“Walaupun kami komited menganjurkan sesebuah acara, mereka tidak akan dibenarkan (masuk ke Malaysia). Keduanya, Malaysia tidak akan menganjurkan sebarang acara yang mempunyai perwakilan atau penyertaan Israel,” kata Saifuddin.

Isnin lalu, AFP memetik Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa yang dilaporkan sebagai kecewa dengan keputusan Malaysia menghalang perenang Israel ke negara ini, tetapi ia berharap dapat mencari penyelesaian.

Perenang dari kira-kira 70 negara dijangka bertanding dalam Kejohanan Renang Para Dunia 2019 di Kuching, Sarawak dari 29 Julai hingga 4 Ogos ini.

Sumber : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2019/01/18/mom-malaysia-akan-hilang-peluang-anjur-sukan-bertaraf-dunia-jika-sekat-atlet-israel/